Abidin Madingkir
KOTA KINABALU: Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini meluluskan Rang Undang-Undang Enakmen Perubahan Iklim dan Tadbir Urus Karbon Sabah 2025 yang digubal bagi memperkukuh tadbir urus iklim serta mengawal selia aktiviti karbon di negeri ini secara sistematik dan menyeluruh.
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Abidin Madingkir berkata, rang undang-undang itu merupakan langkah strategik bagi menghadapi kesan perubahan iklim yang kini semakin ketara termasuk peningkatan suhu, banjir dan kemarau yang menjejaskan keselamatan serta kesejahteraan rakyat Sabah.
“Menyedari keperluan mendesak untuk bertindak, Kerajaan Negeri telah menubuhkan Majlis Tindakan Perubahan Iklim Sabah (SCAC) yang akan diperkuatkan melalui rangka struktur tadbir urus dua peringkat. SCAC akan bertindak sebagai badan dasar, manakala seorang Pengarah akan mengawal selia pelaksanaan, termasuk aktiviti karbon dan pelepasan gas rumah hijau,” katanya semasa membentangkan rang undang-undang itu.
Beliau berkata, enakmen itu turut memperuntukkan bahawa semua hak karbon adalah milik Kerajaan Negeri, menjadikan SCAC sebagai agensi sehenti bagi semua urusan berkaitan aktiviti karbon di Sabah.
Menurut Abidin, pendekatan ini membolehkan Sabah membangunkan kerangka tadbir urus iklim yang selari dengan dasar nasional dan antarabangsa, sekali gus mengoptimumkan aset karbon negeri melalui mekanisme pemantauan dan pelaporan yang telus.
“Penggunaan aset karbon juga akan distrategikan untuk menyokong pertumbuhan sektor ekonomi dan pelaksanaan ‘emission balancing’ sambil melindungi daya saing industri serta kesejahteraan komuniti yang terkesan,” katanya.
Beliau berkata, enakmen itu turut mengiktiraf kuasa negeri dalam hal ehwal alam sekitar, selaras dengan Perkara 77 Perlembagaan Persekutuan dan kedudukan bidang tanah, air dan hutan di bawah Senarai Negeri.
“Dengan kawalan yang jelas terhadap hak karbon, Sabah dapat memastikan manfaat aktiviti karbon dikembalikan semula kepada rakyat melalui pembangunan lestari dan perlindungan ekosistem,” katanya.
Abidin berkata, Rang Undang-Undang itu juga mewajibkan penglibatan masyarakat anak negeri dalam sebarang aktiviti karbon yang dicadangkan di kawasan tanah adat mereka, termasuk rundingan dan cadangan manfaat komuniti.
“Ini untuk memastikan hak, identiti dan warisan komuniti anak negeri terus dilindungi. Pendekatan ini juga menepati prinsip keadilan dan pematuhan terhadap proses perundingan bebas yang dimaklumkan awal (Free, Prior and Informed Consent),” katanya.
Menurutnya, rang undang-undang tersebut turut mewajibkan pelaporan pelepasan gas rumah hijau oleh sektor-sektor tertentu sebagai langkah memperkukuh dasar dan perancangan iklim negeri secara saintifik dan berasaskan data.
“Pada 2024, Sabah buat kali pertama melaksanakan inventori gas rumah hijau. Penemuan awal menunjukkan Sabah berada dalam kategori ‘net sink’ – iaitu negeri yang menyerap lebih banyak karbon daripada yang dilepaskan. Ini adalah aset strategik yang perlu dipertahankan,” katanya.
Tambah beliau, kelebihan ini menjadikan Sabah penyumbang kira-kira 36 peratus daripada kapasiti penyerapan karbon Malaysia, meletakkan negeri ini dalam kedudukan unik dalam ekonomi karbon rendah dunia.
Abidin menegaskan bahawa Sabah juga antara negeri paling terdedah kepada kesan perubahan iklim, justeru perlu bergerak segera dan berstrategi demi melindungi rakyat serta menyumbang kepada agenda iklim global.
“Melalui enakmen ini, kita mahu pastikan kelebihan semula jadi Sabah tidak terhakis, sebaliknya dimanfaatkan untuk membawa kebaikan kepada rakyat dan masa depan negeri,” katanya.
Katanya lagi, enakmen ini merangkumi 11 bahagian utama, termasuk penubuhan SCAC, Pusat Pendaftaran dan Inventori Iklim Sabah, Kumpulan Wang Iklim Sabah, pelaporan GHG, pelaksanaan projek karbon, serta penglibatan komuniti dan penguatkuasaan.
“Matlamat utama enakmen ini ialah mewujudkan sistem tadbir urus perubahan iklim dan karbon yang telus, berwibawa dan jelas – demi menjamin kedaulatan negeri, memperkukuh daya tahan Sabah dan melindungi kepentingan rakyat,” katanya.
































