NEW DELHI: Seorang wanita di India membuat laporan polis terhadap suaminya, mendakwa permintaan lelaki itu untuk mengurangkan masa di media sosial menyebabkan dia kehilangan dua pengikut di laman Instagram.
Menurut Utusan Malaysia, wanita berkenaan, dikenali sebagai Nisha, 30, memfailkan aduan terhadap suaminya, Vijendra, selepas mendakwa pengikutnya di media sosial mula merosot sejak dia diminta meluangkan lebih banyak masa menguruskan rumah tangga.
Menurut polis di Daerah Hapur, Negeri Uttar Pradesh, hubungan pasangan yang tinggal di Noida itu mulai tegang apabila Nisha yang aktif memuat naik sekurang-kurangnya dua video Reels setiap hari di Instagram, mendakwa tidak lagi mempunyai masa untuk berbuat demikian sejak disuruh mengemas rumah dan membasuh pinggan.
“Saya hilang pengikut kerana terlalu sibuk mencuci pinggan dan mengemas rumah atas arahan suami saya. Saya tidak sempat membuat video Reels,” katanya dalam aduannya.
Selepas kehilangan dua pengikut dalam satu hari, Nisha nekad meninggalkan rumah dan pulang ke kampung halamannya sebelum membuat aduan rasmi di Balai Polis Wanita, Daerah Hapur.
Tidak lama kemudian, suaminya, Vijendra pula membalas dengan memfailkan aduan terhadap isterinya.
Dalam laporannya, Vijendra menyatakan isterinya terlalu asyik dengan Instagram hingga mengabaikan tanggungjawab sebagai isteri dan tidak melakukan kerja rumah seperti sepatutnya.
Polis yang menerima kedua-dua aduan tersebut kemudiannya memanggil pasangan berkenaan dan mengadakan sesi kaunseling bagi menjelaskan kepentingan keharmonian rumah tangga serta nilai kekeluargaan.
Pasangan muda itu akhirnya berdamai dan berikrar untuk memperbaiki hubungan mereka namun insiden itu menyebabkan Vijendra kehilangan pekerjaan dan kini sedang berusaha mencari sumber pendapatan baharu.


































