Dr. Joachim Gunsalam
KOTA KINABALU: Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP) melalui agensi pelaksana Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB), telah menawarkan rumah PPR kepada kesemua 237 penyewa yang layak daripada 315 penyewa asal.
Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri KKTP, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam berkata, seramai 58 penyewa asal tidak ditawarkan rumah PPR kerana tidak layak disebabkan tidak memenuhi syarat Dasar Peruntukan Rumah Kos Rendah disewakan, manakala 20 penyewa lagi telah memiliki rumah di atas nama sendiri.
“Seramai 113 penyewa daripada 237 yang ditawarkan rumah telah menerima tawaran dan diberi rumah PPR, iaitu 23 di Taman Jaya Diri, 30 di Taman Bukit Setia, 25 di Taman Puri Warisan, lima di Taman Sri Anak, 23 di PPR Kibabaig, Penampang, dua di Gayang 2, Tuaran, dua di Taman Keramat, Putatan dan tiga di Taman Serigai, Putatan.
“Seramai 124 orang telah menolak tawaran rumah PPR atas sebab lokasi rumah adalah jauh daripada tempat kerja, sekolah anak atau hospital. Bagi mereka yang tidak layak diberi rumah PPR dan mereka yang menolak tawaran rumah PPR, mereka diminta untuk berusaha mencari rumah alternatif sendiri,” katanya ketika menjawab pertanyaan Datuk Junz Wong (Tanjung Aru) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini.
Menurut Dr. Joachim, setakat 3 Julai 2025, 55 penghuni belum berpindah keluar daripada rumah pangsa (30 yang telah menerima rumah PPR,18 yang telah menolak tawaran rumah PPR dan tujuh yang tidak layak ditawarkan rumah PPR).


































