Hajiji bersedia sebelum persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah bermula hari ini.
KOTA KINABALU: Enam keluarga dari Kampung Nelayan 1, Likas yang terjejas akibat perobohan rumah akan ditempatkan semula di kawasan seluas dua ekar yang telah diambil alih oleh Kerajaan Negeri untuk tujuan penempatan, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor.
Menjawab pertanyaan Azhar Matussin (Darau) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini, Hajiji menjelaskan bahawa tanah tersebut merupakan Lot CL.015669799 seluas dua ekar, yang terletak di bawah hak milik MLGH (Sabah) Sdn. Bhd., bukannya syarikat pemaju Rimdaya Sdn. Bhd. seperti yang disangkakan sebelum ini.
“Perisytiharan pengambilan tanah di bawah Seksyen 3, Ordinan Pengambilan Tanah Bab 69 telah disiarkan dalam Warta Kerajaan melalui Gazette Number G.N.210/2025 bertarikh 5 Jun 2025, dan diulangi pada 12 Jun 2025,” katanya.
Tambah beliau, surat kebenaran untuk memasuki tapak bagi tujuan pengambilalihan telah diberikan kepada Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), manakala surat tawaran pampasan kepada MLGH (Sabah) Sdn. Bhd. telah dikeluarkan pada 30 Jun 2025.
“Ini bermakna enam keluarga terbabit boleh ditempatkan di sebahagian kawasan berkenaan yang berkeluasan dua ekar bagi tujuan penempatan semula,” jelas Ketua Menteri.
Beliau berkata, DBKK akan menyedia dan mengatur pelan tata atur di kawasan tersebut bagi memastikan proses penempatan semula dilaksanakan dengan teratur dan sesuai untuk didiami.


































