SUNGAI PETANI: Seorang pegawai polis berpangkat inspektor ditahan kerana disyaki melakukan jenayah rogol dan meminta suapan wang tunai serta habuan seks membabitkan dua kejadian berasingan baru-baru ini.
Menurut Utusan Malaysia, pegawai berusia 29 tahun yang masih bujang itu ditahan selepas dua mangsa membuat laporan di Balai Polis Sungai Petani dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Cawangan Sungai Petani pada 3 dan 4 Julai lalu.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, dalam kejadian pertama pegawai terbabit menerima suapan sebanyak RM2,000 daripada seorang lelaki bagi membebaskan seorang suspek yang terlibat dalam kes dadah.
“Rakan suspek memberi wang kepada inspektor berkenaan di pejabatnya sebelum pegawai polis itu turut meminta habuan seks yang menyebabkan suspek tidak berpuas hati dan membuat laporan kepada SPRM.
“Tidak lama kemudian, polis menerima satu lagi aduan berkaitan kes rogol membabitkan inspektor sama daripada seorang wanita berusia 30-an sebelum dia ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya di sini, hari ini.
Menurut Hanyan, wanita itu yang mempunyai kaitan dengan satu kes samun mengadu dirogol suspek pada 20 April lalu iaitu kira-kira pukul 2 pagi di rumahnya di sebuah flat, di sini.
“Inspektor berkenaan telah pergi ke rumah wanita itu dengan berpakaian lengkap uniform polis kononnya untuk membantu menyelesaikan kes samun dihadapinya.
“Kedatangan pegawai polis itu menyebabkan wanita itu berasa takut dan ketika berada di dalam rumahnya pegawai polis itu kemudiannya bertindak merogol wanita berkenaan,” katanya.
Katanya, pegawai terbabit telah direman selama tiga yang berakhir hari ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 376(2)(f) Kanun Keseksaan sebelum disambung reman empat hari lagi atas permintaan SPRM untuk siasatan di bawah Seksyen 16 Akta SPRM.