WASHINGTON: Kakitangan Universiti Harvard menasihatkan pelajar antarabangsa supaya berhati-hati dalam penggunaan media sosial dan memberi amaran kepada beberapa kumpulan agar mengelakkan ketibaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Logan, di Boston.
Menurut Utusan Malaysia, nasihat itu diberikan oleh wakil Pejabat Pelajar Antarabangsa Harvard dan kumpulan sokongan imigresen Sekolah Undang-Undang Harvard menerusi satu sesi panggilan.
Ia bertujuan memberi panduan kepada pelajar asing susulan kejayaan universiti tersebut memperoleh injunksi awal terhadap usaha pentadbiran Donald Trump yang cuba menyekat kemasukan pelajar antarabangsa.
Menurut pelajar yang menyertai sesi berkenaan, pihak pentadbiran Harvard memberi amaran bahawa pegawai Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) mempunyai kuasa untuk menyemak akaun media sosial pemohon visa pelajar.
Manakala, Kastam dan Perlindungan Sempadan AS boleh memeriksa peranti elektronik peribadi serta menolak kemasukan berdasarkan kandungan yang ditemui.
Wakil Harvard menyatakan tidak jelas sama ada penilaian tersebut dilakukan oleh manusia atau kecerdasan buatan (AI), namun menurut pelajar, kandungan pro-Palestin, anti-Semitik dan menghina AS dilihat menjadi fokus utama.
Wakil universiti itu turut memberi amaran mengenai tindakan memadamkan kandungan peranti secara menyeluruh boleh menimbulkan kecurigaan, kata pelajar yang menyertai sesi tersebut.
Ia turut menasihatkan pelajar warganegara Iran dan China yang mengikuti bidang seperti sains, teknologi, kejuruteraan, matematik dan berkaitan AI, supaya mengambil langkah berjaga-jaga tambahan semasa melakukan perjalanan.
Peguam di Klinik Imigresen dan Pelarian Sekolah Undang-Undang Harvard, Jason Corral berkata, warga Iran khususnya berdepan pemeriksaan lebih ketat di Lapangan Terbang Logan dan disarankan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa John F. Kennedy, New York.
Beberapa peserta sesi memaklumkan bahawa mereka diberi gambaran lapangan terbang lain mungkin lebih sesuai untuk pelajar antarabangsa.
Meskipun tidak dapat dipastikan sama ada proses imigresen lebih mudah di lapangan terbang lain, mereka difahamkan bahawa JFK di New York, O’Hare di Chicago dan Los Angeles mungkin pilihan yang lebih baik berbanding Lapangan Terbang Logan di Boston.