TOKYO: Agensi Meteorologi Jepun (JMA) mengeluarkan amaran mengenai kemungkinan runtuhan rumah dan kejadian tanah runtuh susulan siri gempa bumi kuat yang terus melanda kawasan barat daya negara itu, khususnya di sekitar rantaian pulau Tokara.
Satu lagi gempa bumi berukuran 5.4 skala Richter menggegarkan beberapa pulau di barat daya Jepun pada Sabtu, menjadikannya insiden terbaharu dalam rangkaian gegaran yang memaksa sebahagian penduduk berpindah demi keselamatan.
Menurut Utusan Malaysia, agensi itu memaklumkan, gempa direkodkan berlaku di luar pesisir pantai di rantaian pulau Tokara pada pukul 6.29 pagi waktu tempatan, dengan kedalaman kira-kira 19 kilometer (km).
Bagaimanapun, tiada amaran tsunami dikeluarkan.
Gegaran itu direkodkan pada tahap ‘upper 5’ mengikut skala intensiti seismik Jepun, yang mempunyai nilai maksimum 7.
JMA turut memaklumkan bahawa ukuran dan kedalaman pusat gempa disemak semula daripada bacaan awal iaitu 5.3 skala Richter dan 20 km.
Sejak 21 Jun lalu, lebih 1,000 gempa bumi direkodkan di kawasan rantaian pulau Tokara.
Khamis lalu, satu gempa bumi berukuran 5.5 skala Richter menggegarkan kawasan itu, sekali gus mencetuskan kebimbangan dalam kalangan penduduk.
Pulau Akuseki, yang paling terkesan gegaran kuat berterusan, menyaksikan kira-kira 12 penduduk dipindahkan ke Kagoshima di pulau utama Kyushu pada Jumaat menggunakan feri.
Tujuh daripada 12 pulau dalam kawasan rantaian Tokara dihuni manusia, dengan keseluruhan penduduk sekitar 700 orang, menurut JMA.