WASHINGTON: Presiden Donald Trump mengumumkan Washington akan mula menghantar surat kepada negara asing bermula Jumaat, bagi memaklumkan kadar tarif yang dikenakan ke atas import ke Amerika Syarikat (AS).
Menurut Utusan Malaysia, tindakan itu dilihat sebagai langkah drastik daripada pendekatan terdahulu yang menjanjikan rundingan perjanjian perdagangan secara berasingan dengan setiap negara.
Menurut Trump, surat tersebut akan dihantar kepada 10 negara pada satu-satu masa dan akan memperincikan kadar tarif yang bakal dikenakan, termasuk antara 20 hingga 30 peratus.
“Kita ada lebih 170 negara, dan berapa banyak perjanjian boleh kita buat? Ia jauh lebih rumit,” kata Trump kepada wartawan sebelum berlepas ke lowa, kelmarin.
Presiden Republikan itu menjangkakan akan memetarai beberapa lagi perjanjian yang lebih terperinci dengan negara lain selepas pengumuman perjanjian perdagangan dengan Vietnam pada Rabu.
Bagaimanapun, beliau mendakwa lebih memilih untuk memaklumkan kadar tarif tertentu kepada kebanyakan negara lain tanpa melalui rundingan mendalam.
Trump memberi bayangan kadar tarif baharu yang bakal dikenakan ke atas negara luar mungkin melebihi mungkin melebihi had maksimum 50 peratus yang diumumkannya semasa pelancaran dasar ‘Hari Pembebasan’, April lalu, lapor Bloomberg.
Kadar tertinggi kini berkemungkinan mencecah 60 atau 70 peratus, kadar yang jauh lebih tinggi daripada tarif asas 10 peratus yang dirancang bagi kebanyakan ekonomi.
Bagaimanapun, beliau tidak memperincikan negara mana yang bakal dikenakan kadar tersebut, atau akan disasarkan kepada barangan tertentu sahaja.
Trump turut memaklumkan, pelaksanaan tarif akan bermula pada 1 Ogos, dengan kutipan hasil dijangka mengalir masuk ke Perbendaharaan AS pada tarikh sama.
Setiausaha Perbendaharaan, Scott Bessent, memberitahu Bloomberg sekitar 100 negara dijangka dikenakan kadar tarif timbal balik sebanyak 10 peratus.
Beliau turut meramalkan berlaku ‘gelombang’ pengumuman perjanjian perdagangan menjelang tarikh akhir 9 Julai, apabila kadar tarif berkemungkinan dinaikkan secara mendadak.
Senarai tarif timbal balik asalnya menunjukkan 123 bidang kuasa yang akan diberi kadar 10 peratus, kebanyakannya negara kecil dan beberapa wilayah seperti Kepulauan Heard serta McDonald milik Australia.