David Chan
KOTA KINABALU: Yayasan Pengguna Negara Malaysia (YPNM) menyambut baik penjelasan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd. Ali bahawa tiada sebarang kenaikan harga atau had pembekalan silinder gas petroleum cecair (LPG) buat masa ini.
Pengerusi YPNM Cawangan Sabah, David Chan berkata, jaminan tersebut memberi kelegaan kepada pengguna yang sedang berdepan tekanan kos sara hidup yang semakin meningkat.
“YPNM merakamkan penghargaan kepada Datuk Armizan atas penegasan tersebut, yang memberi kepastian kepada rakyat khususnya di Sabah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, beliau mengingatkan pengusaha makanan dan minuman, terutamanya perusahaan mikro dan kecil (PMKS), agar tidak mengambil kesempatan daripada kenyataan ini untuk menaikkan harga makanan secara tidak munasabah.
“Tindakan menaikkan harga tanpa alasan yang munasabah hanya akan menambahkan beban pengguna, yang kini sudahpun terhimpit dengan peningkatan kos harian,” katanya.
Menurut beliau, YPNM akan terus memantau perkembangan berkaitan isu harga LPG dan menyeru orang ramai agar segera melaporkan sebarang kenaikan harga yang tidak wajar kepada pihak berkuasa, termasuk Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
David turut menegaskan bahawa perlindungan hak pengguna adalah tanggungjawab bersama dan memerlukan kerjasama semua pihak bagi memastikan kestabilan harga dapat dikekalkan.
“Kami mengajak orang ramai supaya cakna, prihatin dan tidak berdiam diri jika mendapati ada pihak yang mengambil kesempatan,” tambahnya.
































