Anggota polis membawa Muhammad Iqbal (dua dari kiri) untuk didakwa atas pertuduhan melakukan amang seksual bukan fizikal terhadap kanak-kanak di Mahkamah Sesyen Kota Bharu, Kelantan.
KOTA BHARU: Seorang lelaki Pakistan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, kelmarin atas pertuduhan melakukan amang seksual bukan fizikal dengan menunjukkan kemaluannya kepada kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun, kira-kira dua minggu lalu.
Menurut Utusan Malaysia, Muhammad Iqbal, 50, yang merupakan seorang peniaga membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Zulkifli Abllah.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa menunjukkan kemaluannya dengan niat untuk dilihat oleh mangsa yang ketika itu berusia 12 tahun empat bulan. Tertuduh didakwa melakukan perbuatan tidak senonoh itu di sebuah kedai runcit di Jalan Kubang Kacang, Kampung Seribong Limbat di sini kira-kira pukul 11 malam pada 14 Jun lalu.
Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 15(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan boleh dihukum di bawah seksyen sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin selain menetapkan 30 Julai ini untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen.
































