PETALING JAYA: Sejak talian paip gas di Putra Heights, Subang Jaya dekat sini ditauliahkan pada 2000, telah berlaku mendapan tanah sebanyak 24.3 sentimeter (cm) dalam tempoh 25 tahun.
Menurut Utusan Malaysia, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, mendapan itu menyebabkan berlakunya pergerakan kepada paip gas sebanyak 15.9cm dan ia dibuktikan dalam persampelan paip yang menunjukkan tanda-tanda tekanan dan fatigue dalam struktur paip.
Katanya, meskipun paip gas tersebut memenuhi spesifikasi teknikal dan piawaian yang ditetapkan, kegagalan paip didapati berpunca daripada beberapa faktor persekitaran termasuk keadaan tanah yang kurang stabil.
“Pengumpulan air bawah tanah dalam tempoh masa panjang yang menyebabkan tanah kawasan semakin lembut, struktur saliran monsun dan culvert (pembetung) yang terkesan akibat keadaan tanah, serta tekanan iklim dan kepadatan kawasan penduduk.
“Pasukan penyiasat menyimpulkan bahawa faktor persekitaran di bawah permukaan tanah merupakan punca utama paip tersebut gagal dan pergeseran logam paip gas, kemudian mencetuskan api yang meledak pada pukul 8:08 pagi, 1 April,” katanya dalam kenyataan.
Dua aspek utama dinilai dengan melibatkan elemen teknikal seperti integriti struktur paip, faktor luar serta geologi tapak yang disiasat secara bersama Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH), Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) dan Jabatan Kerja Raya (JKR).
Manakala siasatan elemen jenayah yang merangkumi sabotaj ataupun kecuaian diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Amirudin berkata, kerajaan negeri berpendirian bahawa laporan siasatan itu akan menjadi asas kepada analisis risiko di setiap kawasan yang seumpamanya.
Katanya, sebuah jawatankuasa khas di bawah Unit Pengurusan Bencana Negeri akan ditubuhkan dengan melibatkan pakar termasuk daripada Petronas.
“Ia bagi memberikan cadangan pembaharuan undang-undang, prosedur kelulusan kebenaran merancang, dasar pembangunan mengambil kira risiko perubahan iklim, serta semua kawasan jajaran right-of-way talian paip gas.
“Ini amat penting bagi mengukuhkan kawasan Putra Heights serta kawasan seumpamanya supaya insiden ngeri sebegini tidak berulang lagi,” katanya.


































