MUAR: Satu mayat wanita ditemukan terapung dipercayai lemas di sebuah sungai berhampiran Dataran Tanjung Emas, di sini semalam.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, pihaknya menerima aduan dari orang awam berhubung penemuan manusia terapung di Sungai Muar kira-kira pukul 1.20 petang.
“Siasatan di lokasi telah dijalankan polis Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis daerah Muar, mendapati satu mayat wanita berusia 52 tahun dipercayai lemas dan terapung di tempat kejadian.
“Pemerhatian awal mendapati tiada sebarang unsur jenayah ditemui. Usaha menaikkan mayat mangsa telah dijalankan dengan bantuan dari pihak bomba dan mayat mangsa telah dihantar ke unit forensik Hospital Pakar Sultanah Fatimah, (HPSF) Muar untuk proses bedah siasat.
“Kira-kira dua jam selepas itu, lebih kurang pukul 3.10 petang, pihak polis telah menerima satu aduan tentang kehilangan ahli keluarga,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Raiz Mukhliz berkata, waris kemudian dibawa ke HPSF untuk proses pengecaman mayat dan telah disahkan oleh pihak keluarga sepertimana aduan kehilangan.
Ujar beliau, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenalpasti punca kejadian.
“Pihak polis meminta agar sekiranya terdapat saksi lain yang melihat kejadian untuk menghubungi pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar di talian 069564800 atau menghubungi ASP Suhaimi Ahmad di talian 013-3975290 serta tampil ke ibu pejabat polis daerah bagi membantu siasatan,” katanya.
































