WELLINGTON: Warga Amerika Syarikat (AS) mencatatkan bilangan tertinggi dalam permohonan visa pelaburan New Zealand atau dikenali sebagai visa emas, selepas kerajaan negara itu melonggarkan syarat permohonan bagi menarik pelaburan asing serta merangsang ekonomi yang perlahan.
Menurut Utusan Malaysia, kerajaan campuran baharu New Zealand pada Februari lalu mengumumkan pelonggaran syarat bagi visa Active Investor Plus termasuk pengurangan nilai pelaburan minimum, penghapusan syarat fasih berbahasa Inggeris serta pemendekan tempoh kehadiran fizikal di negara itu daripada tiga tahun kepada hanya tiga minggu untuk layak memohon status penduduk tetap.
Menurut Imigresen New Zealand, sebanyak 189 permohonan telah diterima sejak peraturan baharu itu berkuat kuasa pada April lalu, membabitkan seramai 609 individu.
Sebagai perbandingan, hanya 116 permohonan diterima sepanjang dua setengah tahun sebelum ini.
Daripada jumlah itu, hampir separuh datang dari AS dengan 85 permohonan, diikuti China (26) dan Hong Kong (24), manakala selebihnya dari pelbagai negara di Asia dan Eropah.
Di bawah peraturan baharu itu, sebanyak 149 permohonan dikemukakan di bawah kategori “pertumbuhan”, yang memerlukan pelaburan minimum NZ$5 juta (RM14.7 juta) dalam tempoh tiga tahun, manakala 40 lagi memohon melalui kategori “seimbang” yang menetapkan pelaburan minimum NZ$10 juta (RM29.4 juta) dalam tempoh lima tahun.
Setakat ini, 100 permohonan telah diluluskan secara prinsip manakala tujuh pemohon telah memindahkan pelaburan mereka menjana pelaburan berjumlah NZ$45 juta kepada negara itu.
Ini bukan kali pertama warga AS beralih ke New Zealand sebagai ‘tempat perlindungan’ ketika negara mereka bergolak kerana selepas kemenangan pertama Donald Trump pada 2016, kunjungan ke laman imigresen New Zealand melonjak sehingga 2,500 peratus.
Selepas keputusan Mahkamah Agung AS membatalkan hak pengguguran, kunjungan ke laman itu melonjak kepada 77,000 dan selepas kemenangan Trump pada Pilihan Raya 2024, pasaran hartanah New Zealand pula mencatat peningkatan minat daripada rakyat AS.
Ekonomi New Zealand mengalami kemerosotan selepas pandemik Covid-19 dan mencatatkan penyusutan paling besar dalam kalangan negara maju pada 2024.
































