BEIJING: Lebih 13 juta pelajar di China menduduki peperiksaan masuk universiti tahun ini dalam suasana penuh tekanan bukan sahaja dari segi akademik tetapi juga kawalan ketat terhadap penipuan menggunakan kecerdasan buatan (AI).
Menurut Utusan Malaysia, peperiksaan selama dua hari itu dianggap sebagai ujian paling mencabar di dunia, dan menjadi penentu utama bagi masa depan pelajar dalam memperoleh tempat di universiti terkemuka di negara itu.
Sesi kali ini menyaksikan peningkatan ketara dari segi langkah pencegahan penipuan apabila China menggunakan teknologi pengecaman wajah, pengesan logam, dron, serta alat penghalang isyarat telefon di pusat-pusat peperiksaan.
Syarikat AI turut digembleng dalam usaha kerajaan untuk mengekang penipuan, dengan beberapa platform utama membekukan fungsi tertentu sepanjang waktu peperiksaan berlangsung dan antara terlibat ialah gergasi teknologi Tencent yang menggantung fungsi pengecaman imej melalui chatbot mereka, manakala langkah sama diambil syarikat AI DeepSeek, yang menyekat fungsi muat naik gambar soalan sepanjang peperiksaan berlangsung.
Tindakan tegas kerajaan turut mendapat pelbagai reaksi bercampur dari masyarakat umum. Seorang pengguna Instagram memuji langkah itu sebagai langkah yang berani namun ada juga yang sinis, menyatakan langkah ini hanya akan buat pelajar lebih gigih cari jalan untuk menipu dengan cara lain.
Ironiknya, sekolah-sekolah sendiri turut menggunakan teknologi AI yang sama bagi mengesan pelajar cuba menipu, dengan sistem pemantauan pintar mengesan pergerakan mencurigakan seperti berbisik, menukar barangan, atau memandang kertas orang lain.
Di wilayah Jiangxi, rakaman kamera dari bilik peperiksaan diteliti semula untuk mengesan sebarang tingkah laku luar biasa sepanjang peperiksaan berlangsung namun tindakan menggantung fungsi AI ini turut menerima kecaman daripada pelajar universiti yang bergantung pada teknologi tersebut untuk membantu pembelajaran mereka.
China sebelum ini pernah menggubal undang-undang pada 2016 yang memperuntukkan hukuman penjara hingga tujuh tahun terhadap pelajar yang didapati menipu dalam peperiksaan kebangsaan.
Pada 2018, enam individu dipenjara antara 20 bulan hingga empat tahun selepas didapati bersalah terbabit dalam skim penipuan peperiksaan sekolah dengan menggunakan peranti penghantar dan penerima tanpa wayar untuk menyampaikan jawapan kepada calon peperiksaan.
































