Mat Zani @ Mohd Salahuddin Che Ali
KUALA LUMPUR: Polis menumpaskan sindiket pengedaran rokok e-elektronik (vape) mengandungi cecair kokain melalui penahanan empat termasuk warga Singapura berhampiran sebuah hotel Ampang Jaya dekat sini, 19 Jun lalu.
Menurut Utusan Malaysia, dalam serbuan kira-kira 11.45 pagi itu, tiga lelaki berusia antara 25 hingga 57 tahun itu ditahan ketika berada dalam kenderaan Toyota Vellfire manakala seorang lagi dipercayai dalang sindiket ini berusia 31 tahun ditahan di lobi hotel terbabit.
Pemeriksaan ke atas kenderaan terbabit turut menemukan 10 kotak mengandungi sebanyak 4,958 katrij vape berisi cecair dadah kokain seberat 9,420.2 millimeter (ml) yang dianggarkan bernilai RM7.29 juta.
Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Mat Zani @ Mohd Salahuddin Che Ali berkata, siasatan mendapati sindiket terbabit yang beroperasi sejak Mac lalu menggunakan rumah inap desa jenis kondominium mewah yang disewa RM300 sehari di sekitar ibu negara untuk kegiatan membungkus sebelum diedarkan ke pasaran antarabangsa.
Katanya, siasatan awal mendapati dadah tersebut dipercayai diseludup masuk daripada sebuah negeri di selatan tanah air.
“Kita percaya sindiket tersebut menjadikan negara ini sebagai transit bagi menyeludup keluar dadah tersebut dipercayai melalui kurier.
“Siasatan mendapati setiap katrij yang mengandungi 1.9 ml itu dijual dengan harga RM1,500 yang mana ia boleh disedut sebanyak 100 kali.
“Ini merupakan ancaman baharu di negara ini memandangkan kokain sukar diperoleh di Asia Tenggara,” katanya ketika sidang akhbar di Bukit Aman di sini hari ini.
Menurutnya, sindiket tersebut dipercayai didalangi seorang warga Singapura berusia 31 tahun yang turut ditahan dalam serbuan terbabit.
Jelas beliau, pihaknya percaya kesemua vape terbabit untuk edaran antarabangsa dan golongan elit di negara ini.
“Pemeriksaan mendapati seorang daripada mereka positif ketamin manakala dua daripada suspek mempunyai rekod lampau berkaitan dadah.
“Kesemua suspek direman selama tujuh hari bermula 20 hingga 26 Jun ini bagi disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Berbahaya 1952,” katanya.






























