Gambar Hiasan
BESUT: Seramai 13 lelaki termasuk tekong dan dua awak-awak berdepan detik cemas apabila bot dinaiki dipanah petir ketika sedang mencandat sotong di perairan Pulau Perhentian, dekat sini. malam tadi.
Menurut Utusan Malaysia, Komander Operasi daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat, Mohd. Zailani Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu kira-kira pukul 8.53 malam sebelum pasukan penyelamat yang terdiri daripada bomba dan polis ke lokasi.
Katanya, insiden itu menyebabkan seorang tekong, Mohd. Syukrillah Abd \. Rahim, 44, mengalami kecederaan di bahagian belakang kepala dan badan.
“Mangsa mengalami kecederaan apabila terkena serpihan bumbung bot yang pecah selepas antena alat komunikasi bot terkena panahan petir.
“Mangsa yang kebetulan berada berhampiran tempat mengemudi bot mengalami kecederaan dan dibawa ke Klinik di Pulau Perhentian sebelum dirujuk ke Hospital Besut dengan dihantar menggunakan bot ambulan,” katanya hari ni.
Beliau berkata, difahamkan mangsa telah dibenarkan pulang selepas menerima rawatan di Hospital Besut.
Mohd. Zailani berkata, 10 penumpang dan dua lagi awak-awak yang berada di atas bot yang sama telah diselamatkan oleh bot-bot nelayan lain yang kebetulan berada di lokasi, yang mana kesemua mereka dibawa balik ke Jeti Kuala Besut.


































