Sammy Newton
KOTA KINABALU: Polis sedang menjalankan siasatan berhubung satu kes amang seksual melibatkan seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun di kawasan Putatan, Sabah, yang turut dikaitkan dengan penularan sebuah video di media sosial sejak awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu melalui Balai Polis Putatan, sekitar jam 8.09 malam tadi.
Katanya, siasatan awal mendapati kejadian berkenaan mempunyai kaitan dengan satu video berdurasi satu minit 34 saat yang dimuat naik ke media sosial dan menjadi tular.
“Laporan polis diterima melibatkan seorang pelajar perempuan yang menjadi mangsa amang seksual di kawasan Putatan.
“Video yang tular itu turut dikaitkan dengan kes ini, dan pihak polis sedang giat menjalankan siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurut beliau, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang jika sabit kesalahan, memperuntukkan hukuman penjara dan sebatan.
Bagaimanapun, katanya, suspek masih belum ditahan dan usaha mengesannya sedang giat dijalankan.
Dalam pada itu, Sammy turut menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih di media sosial kerana ia boleh mengganggu siasatan dan menjejaskan hak mangsa.
Sebarang maklumat lanjut mengenai kes itu boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat, Inspektor Kalista Demson di talian 011-33980319.


































