Haji Hajiji Haji Noor
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri terus meletakkan pembangunan modal insan sebagai teras utama dalam menjayakan agenda ekonomi negeri, khususnya dalam meneroka potensi besar sektor ekonomi biru yang semakin berkembang.
Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor berkata, pendekatan ini penting bagi memastikan rakyat Sabah memiliki kemahiran dan pengetahuan yang relevan dengan tuntutan semasa, sejajar dengan perubahan landskap ekonomi dunia.
“Dunia sudah berubah, dan kita juga perlu berubah. Kita tidak boleh lagi berpegang kepada sistem lama. Justeru, modal insan yang berdaya saing dan berkemahiran tinggi amat diperlukan untuk memacu pembangunan negeri,” katanya ketika merasmikan Sabah Blue Economy Skillfest 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sin , hari ini. Teks ucapan Hajiji dibacakan oleh Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam.

Dr. Joachim (duduk, tengah) merakamkan gambar kenangan bersama tetamu kehormat dan semua yang hadir dalam majlis berkenaan.
Ketua Menteri berkata, menerusi pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ), Kerajaan Negeri terus merangka dasar-dasar pembangunan yang inklusif dan mampan dengan memberi keutamaan kepada peningkatan kapasiti rakyat dalam menghadapi era ekonomi baharu.
“Sabah kaya dengan sumber laut. Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab kita untuk memastikan rakyat bersedia memanfaatkan potensi ini secara lestari dan berilmu,” katanya.
Menurutnya, sejak 2021 hingga 2024, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sebanyak RM848.26 juta melalui empat saluran utama pendidikan, yang memberi manfaat kepada hampir 245,953 penerima.
Antaranya, Tabung Pendidikan Negeri Sabah sebanyak RM227.1 juta yang memberi manfaat kepada 7,483 penerima, Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah sebanyak RM324.1 juta (13,640 penerima), Bantuan Pendidikan Pejabat Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Tugas-Tugas Khas) berjumlah RM164.14 juta (210,918 penerima) serta bantuan dan pinjaman Yayasan Sabah sebanyak RM132.92 juta (13,921 penerima).

Dr. Joachim (empat dari kiri) menyampaikan sijil penghargaan Rakan Strategik Minggu Latihan Kebangsaan (NTW 2025) Peringkat Negeri Sabah kepada Ketua Pegawai Eksekutif Zara Boutique Hotel Kota Kinabalu, Datuk Eliza Goh.
“Untuk tahun ini, Kerajaan Negeri memperuntukkan lagi RM497.54 juta bagi meneruskan agenda pemerkasaan modal insan demi melahirkan generasi kompeten, berinovasi dan berintegriti,” tegasnya.
Hajiji turut memuji pencapaian HRD Corp yang berjaya melatih seramai 61,448 pekerja di Sabah sepanjang tahun 2024, dengan pembiayaan melebihi RM58.2 juta.
“Saya yakin dengan pelaksanaan program seperti Skillfest ini, lebih banyak peluang
pekerjaan baharu akan diwujudkan dalam sektor-sektor berkaitan ekonomi biru,” katanya.
Menurutnya, program Skillfest adalah antara usaha penting untuk memperkukuh latihan kemahiran dalam sektor ekonomi biru, yang merangkumi industri seperti marikultur, perikanan, tenaga laut, pelancongan marin serta penyelidikan dan pembangunan teknologi lautan.
“Skillfest 2025 menyasarkan penyertaan seramai 2,500 peserta dan merupakan sebahagian daripada Minggu Latihan Kebangsaan (NTW) 2025 – Sabah, yang tahun ini menyasarkan lebih 67,000 penyertaan di seluruh negeri,” katanya.
Beliau berkata, kerjasama strategik antara HRD Corporation dan Sekretariat Sabah Maju Jaya (SSMJ) dalam penganjuran program ini wajar dipuji, kerana menyokong matlamat Kerajaan untuk memperluaskan akses pembelajaran sepanjang hayat kepada seluruh rakyat tanpa mengira latar belakang.
Menurutnya, program ini juga merupakan kesinambungan kejayaan Sabah International Blue Economy Conference (SIBEC) 2024, yang telah menarik perhatian global dan meletakkan Sabah sebagai pemain utama dalam ekonomi biru serantau.
Hajiji turut menyeru rakyat Sabah untuk memanfaatkan sepenuhnya peluang yang ditawarkan dan berharap program sebegini diperluas ke seluruh negeri sebagai sebahagian daripada ekosistem pembelajaran berterusan.