Hajiji menerima cenderamata daripada Gobind semasa kunjungan hormat di pejabatnya di Menara Kinabalu, Kota Kinabalu, hari ini.
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri amat menekankan kepentingan memperluas capaian digital kepada semua lapisan masyarakat, termasuk di kawasan luar bandar.
“Dengan sokongan Kerajaan Persekutuan, kita yakin usaha ini dapat dipercepatkan,”
kata Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor semasa menerima kunjungan hormat daripada Menteri Digital Malaysia, Gobind Singh Deo di pejabatnya di Menara Kinabalu, di sini, hari ini.
Hajiji berkata, transformasi digital adalah antara komponen utama dalam pelan pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ), khususnya bagi merangsang pertumbuhan ekonomi berasaskan teknologi serta meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan awam.
Kunjungan itu merupakan sebahagian daripada lawatan kerja rasmi Gobind ke Sabah, termasuk menghadiri Mesyuarat Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Perindustrian Keempat (MED4IR) Negeri.
Hajiji menyambut baik kunjungan tersebut dan menzahirkan penghargaan kepada Gobind Singh atas komitmen berterusan Kerajaan Persekutuan dalam menyokong
agenda digital negeri.
Turut hadir dalam pertemuan itu ialah Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr. Haji Mohd. Arifin Mohd. Arif, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Sr. Safar Untong, Setiausaha Tetap Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Mohd.Hanafiah Mohd. Kassim dan pegawai kanan Kementerian Digital Malaysia.


































