WASHINGTON: Seorang lelaki maut selepas ditembak dalam satu kejadian protes menentang Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump di Utah.
Menurut Utusan Malaysia, Jabatan Polis Salt Lake City dalam kenyataan berkata, mangsa, Arthur Folasa Ah Loo, 39, ditembak ketika menyertai protes ‘No Kings’ di Salt Lake City, dan protes berkenaan antara demonstrasi yang diadakan di seluruh negara susulan seorang lelaki berusia 24 tahun mengacukan senapang separa automatik jenis AR-15.
Katanya, seorang individu ketiga melepaskan tiga das tembakan ke arah suspek bersenjata itu dan satu daripada peluru terkena Ah Loo.
“Suspek yang membawa senjata jenis AR-15 berkenaan, dikenali sebagai Arturo Gamboa sudah ditahan dan didakwa bagi tuduhan membunuh,” katanya.
Bagaimanapun, tuduhan berkenaan masih bersifat awal dan tertakluk kepada pengesahan oleh pihak pendakwa raya.
Ketua Polis Salt Lake City, Brian Redd, dalam sidang media berkata, Gamboa tidak melepaskan sebarang tembakan daripada senjatanya.
Katanya, lelaki yang melepaskan tembakan ke arah Gamboa pula dilaporkan memakai vest keselamatan berwarna terang dan dipercayai mempunyai kaitan dengan penganjur protes.
Dia belum didakwa dan sedang bekerjasama dengan pihak polis.
“Gamboa tidak mempunyai rekod jenayah dan siasatan terhadap motif tindakannya masih berada di peringkat awal,” katanya.
Amerika Syarikat kini dilanda polarisasi politik yang semakin ketara, terutamanya sejak pemilihan semula Trump tahun lalu.


































