Antara papan iklan terbesar yang digunakan untuk mempromosikan projek hartanah milik ayah Yu-kun.
Seorang bapa di Jepun sanggup membelanjakan hampir 100 juta yen (RM2.1 juta) semata-mata untuk menyiarkan gambar anak lelakinya di papan iklan, bas dan kedai serbaneka di seluruh bandar raya Tokyo.
Menurut Utusan Malaysia, anaknya yang dikenali sebagai Yu-kun, kini berusia 16 tahun, menjadi tular dan digelar penduduk tempatan di Adachi sebagai The Landmark Kid atau ‘Budak Mercu Tanda’ kerana wajahnya terpampang di pelbagai sudut bandar.
Walaupun bukan seorang selebriti, model atau anak genius, wajah Yu-kun menjadi perhatian kerana bapanya memilih menggunakan gambar-gambar lama anak lelakinya itu semasa kecil pada papan iklan gergasi sebagai sebahagian daripada kempen promosi projek hartanah miliknya.
Bapanya menganggap gambar-gambar anaknya terlalu comel dan perlu dikongsi dengan seluruh bandar Tokyo.
Sebagai tanda kasih sayang, lelaki tersebut yang enggan mendedahkan namanya itu melancarkan kempen iklan besar-besaran dengan menampilkan lebih 10 versi gambar Yu-kun ketika kecil, lengkap dengan ekspresi lucu dan memalukan.
Antara gambar paling popular memaparkan Yu-kun sedang menangis selepas terkejut melihat aksi penghibur jalanan, dengan wajah yang berkerut dan air mata mengalir.
Gambar itu dijadikan poster bersaiz dua meter dan digantung di pintu masuk stesen kereta api bawah tanah.
Kempen tersebut sentiasa dikemaskini dari semasa ke semasa dan bapanya masih menempah khidmat jurugambar profesional untuk merakam gambar terkini Yu-kun bagi digunakan dalam promosi projek hartanah terbaharu syarikatnya.
Namun begitu, Yu-kun sendiri mengakui tidak gembira menjadi selebriti jalanan.
“Saya memang tidak suka. Betul-betul tidak suka. Jika ayah benar-benar merasa saya sangat comel, mengapa dia tidak terus sahaja pindahkan 100 juta yen itu ke dalam akaun bank saya?”
“Orang mungkin tidak cam wajah saya ketika bayi, tetapi sekarang saya sudah besar dan ia sangat memalukan,” katanya dalam satu temu bual.
Laporan yang disiarkan dalam program televisyen Jepun, Monday Late Show, turut mencuit hati warganet di China dengan beberapa pengguna media sosial memberi komen sinis.
“Seperti peribahasa Cina, kasih sayang seorang ayah umpama gunung, tetapi kasih sayang bapa Jepun ini agak keterlaluan di papan iklan!
“Kasih ibu bapa biasanya percuma, tetapi ada juga yang dibayar dengan harga tinggi.
“Ibu bapa di China cenderung menyembunyikan kasih mereka, tetapi nampaknya ada ibu bapa di Jepun sanggup menayang wajah anak di seluruh bandar,” ujar seorang lagi pengguna media sosial.


































