Steve Johnny Mositun
KOTA KINABALU: Pengerusi Majlis Belia Persatuan Kebudayaan Kadazan Dusun (KDCA), Steve Johnny Mositun melahirkan rasa kecewa dan prihatin terhadap insiden baru-baru ini di Bukit Puchong yang melibatkan seorang kakitangan agensi hartanah yang didakwa menyatakan bahawa unit sewa tertentu “hanya untuk rakyat tempatan”, seolah-olah mempertikaikan kewarganegaraan seorang individu Kadazan dari Sabah.
Beliau berkata, kenyataan sedemikian bukan sahaja mencerminkan kejahilan terhadap komposisi masyarakat majmuk di Malaysia, malah turut mencetuskan keresahan dalam kalangan rakyat Malaysia dari Sabah dan Sarawak yang sering disalahanggap atau dipinggirkan dari segi identiti kebangsaan mereka.
“Sebagai rakyat Malaysia, etnik Kadazan dan semua kumpulan etnik lain di Sabah adalah sebahagian sah daripada mozek nasional,” tegasnya.
Beliau berkata, tidak wajar mana-mana pihak mempertikaikan taraf kemalaysiaan seseorang hanya kerana nama, loghat atau rupa paras mereka berbeza daripada majoriti di Semenanjung.
Sehubungan itu, beliau menyeru agar pihak agensi dan kakitangan yang terlibat mengambil tanggungjawab penuh dan menjalani latihan berkaitan sensitiviti budaya serta kesedaran nasional, khususnya bagi mereka yang berurusan secara langsung dengan orang awam.
Katanya, Majlis Belia KDCA komited untuk terus memperkukuh kefahaman antara budaya dan menyemai semangat perpaduan melalui dialog, pendidikan dan kerjasama rentas wilayah serta etnik.
“Semoga insiden ini menjadi pengajaran yang membina dan membuka mata semua pihak bahawa Malaysia ini milik bersama, dan setiap rakyatnya berhak diberi layanan dengan hormat dan adil,” katanya.


































