GEORGE TOWN: Polis berjaya menyelamatkan tiga lelaki warga asing yang dipercayai dikurung dalam sebuah rumah daripada hasil serbuan yang dijalankan di sebuah pangsapuri di sini, semalam.
Menurut Utusan Malaysia, Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintenden Lee Swee Sake berkata, pihaknya sebelum itu menerima laporan mengenai kejadian tersebut daripada seorang lelaki yang juga warga asing berusia 47 tahun.
“Bertindak atas maklumat yang diberikan, sepasukan anggota polis kemudian telah menjalankan serbuan di lokasi yang dimaksudkan kira-kira pukul 2 petang dan berjaya menyelamatkan ketiga-tiga mangsa yang berumur antara 28 hingga 52 tahun.
“Ketika ditemui, kesemua mangsa bagaimanapun berada dalam keadaan sihat,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Menurut Swee Sake, susulan penemuan tiga lelaki berkenaan, polis kemudian menahan empat individu terdiri daripada tiga lelaki tempatan berumur antara 40 hingga 56 tahun dan seorang wanita warga asing berumur 40 tahun yang dipercayai berperanan menjaga mangsa-mangsa itu ketika dikurung.
Katanya, kes itu kini disiasat di bawah Seksyen 344 Kanun Keseksaan kerana melakukan kurungan secara salah.
“Kesemua suspek yang ditahan juga telah direman selama empat hari bermula hari ini sehingga 14 Jun bagi membantu siasatan,” ujar beliau.


































