PITAS: Seramai lebih 2,000 pelajar dari tujuh buah sekolah di daerah Pitas kini menerima bantuan secara langsung untuk keperluan persekolahan harian mereka menerusi inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) baharu oleh SMJ Energy Sdn. Bhd. dengan kerjasama Yayasan MyKasih.
Inisiatif ini telah dilancarkan oleh Menteri Kewangan yang juga Pengerusi SMJ
Energy, Datuk Seri Masidi Manjun pada satu majlis di SMK Kanibungan, di sini, hari ini.
Beliau berkata, program ini mencerminkan komitmen SMJ Energy untuk memastikan manfaat hasil industri minyak dan gas Sabah disalurkan semula kepada rakyat, khususnya anak-anak Sabah yang merupakan masa depan negeri ini.
“Jika sedikit bantuan ini mampu mengubah haluan hidup seorang pelajar, maka ia merupakan satu pelaburan yang sangat besar nilainya,” tambahnya.
Program ini melibatkan tiga buah sekolah menengah dan empat buah sekolah rendah di Pitas dan menyediakan bantuan tunai tanpa sentuh bagi pembelian makanan dan alat tulis di kantin serta koperasi sekolah.
Kaedah ini memastikan ketelusan dan bantuan disalurkan terus kepada pelajar.
Masidi turut menekankan bahawa Pitas adalah antara daerah yang menghadapi cabaran sosioekonomi paling besar di Sabah dan setiap anak harus diberi peluang yang sama tanpa mengira latar belakang.
Yayasan MyKasih pula memainkan peranan penting dalam pelaksanaan program ini, termasuk memantau dan menyediakan laporan impak berkala.
“Inisiatif ini melengkapi usaha berterusan pihak sekolah, pegawai pendidikan dan
pertubuhan tempatan di Pitas. Kami sedar bahawa memajukan pendidikan luar. bandar memerlukan kerjasama pelbagai pihak,” kata Masidi.


































