Hajiji (tiga dari kiri) menyampaikan cenderamata kepada Mohamad Marzuki sambil diperhatikan Sapawi (dua dari kiri) dan yang lain.
KOTA KINABALU: Program Latihan Kepimpinan Belia Islam ASEAN selama sembilan hari yang dianjurkan bersama oleh Majlis Dakwah Islamiah Serantau Asia Tenggara dan Pasifik (RISEAP), Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) dan Majlis NGO Islam Sabah akan diadakan di sini bermula 16 Ogos ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor telah dimaklumkan mengenai penganjuran program itu oleh Setiausaha Agung Kehormat RISEAP, Dato Haji Mohamad Marzuki Mohamad Omar semasa kunjungan hormat di Menara Kinabalu, di sini hari ini.
Mohamad Marzuki memaklumkan kepada Ketua Menteri bahawa antara objektif program berkenaan ialah untuk membentuk kompas moral dalaman yang diperlukan dalam kepimpinan Islam, menyediakan alat dan teknik untuk komunikasi berkesan, penyelesaian konflik dan pembuatan keputusan, serta menggalakkan keterangkuman dan rasa hormat dalam kalangan belia dari negara-negara ASEAN yang berbeza.
Selain itu, program ini juga bertujuan menggalakkan penglibatan proaktif dalam pembangunan masyarakat dan inisiatif dakwah serta memperkukuh ikatan antara golongan belia bagi membina komuniti ASEAN yang berdaya tahan, aman dan berpandangan jauh.
Mohamad Marzuki turut diiringi Presiden USIA, Datuk Sapawi Ahmad.


































