Razali (kanan) menerima cenderamata.
KOTA KINABALU: Orang ramai, khususnya golongan muda, diingatkan agar tidak mudah terpengaruh dengan maklumat yang disebarkan oleh pempengaruh atau influencer yang digelar sebagai ‘Profesor 2 Minit’ di pelbagai platform media sosial.
Setiausaha Agung Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Mohamed Razali Mohamed Razi berkata, trend semasa menunjukkan semakin ramai pengguna media sosial yang cenderung mempercayai kandungan video pendek tanpa menyemak kesahihan fakta.
Keadaan ini, katanya, membuka ruang kepada penularan maklumat yang tidak tepat, terutamanya berkaitan politik, agama dan kesihatan.
“Sekarang ini ia sudah menjadi satu trend. Tapi apa yang penting, pempengaruh seperti ini tidak berada di lapangan, berbeza dengan ahli politik seperti kami yang turun padang, mendengar, melihat dan mengambil tindakan,” katanya ketika ditemui media selepas merasmikan Persidangan Gagasan Rakyat Bahagian Api-Api di sini, kelmarin.
Razali turut menegaskan bahawa budaya membuat kenyataan semata-mata untuk meraih populariti atau pengikut di media sosial perlu dihentikan.
Setiap individu, katanya, perlu bertanggungjawab terhadap maklumat yang disebarkan.
“Ini bukan soal populariti, sebaliknya yang lebih penting adalah ketepatan fakta. Apa yang benar kita maklumkan, yang tidak betul jangan digembar-gemburkan,” ujarnya.
Razali yang juga seorang peguam mengingatkan bahawa pihaknya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap penyebar fitnah. Malah, beliau memberi amaran bahawa ramai yang mungkin disaman sekiranya tindakan itu dilaksanakan secara menyeluruh.
“Jangan hanya kerana dua minit, kita terpengaruh dan diracuni dengan fakta yang tidak sahih,” katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau menasihati masyarakat agar rajin mencari ilmu dan tidak mengamalkan pendekatan jalan pintas dalam memahami sesuatu isu.
“Kalau kita amal ilmu secara ‘shortcut’, bukan saja boleh sesat dalam fakta politik, tapi juga dalam ibadah, hukum halal haram, dan juga soal perubatan. Jadi kena rajin mencari ilmu, bukan hanya percaya pada video dua minit,” tambahnya.
Nasihat itu disuarakan ketika gelombang penyebaran maklumat separa benar di media sosial semakin membimbangkan, khususnya menjelang ambang Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17). Ia dipercayai disebarkan oleh pihak tidak bertanggungjawab yang cuba mengelirukan rakyat dengan fakta yang tidak benar.
Keadaan ini menuntut kesedaran serta ketelitian yang tinggi dalam kalangan pengguna media sosial untuk menilai ketepatan dan kesahihan sumber maklumat yang diterima.
































