Haji Hajiji Haji Noor
TUARAN: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) belum membuat sebarang keputusan rasmi berhubung hala tuju gabungan itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-17, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor.
Pengerusi GRS itu berkata, keputusan mengenai hala tuju GRS hanya akan dibuat selepas mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi gabungan itu yang dijangka diadakan dalam masa terdekat.
“GRS belum lagi buat sebarang keputusan. Ahli Majlis Tertinggi GRS akan bermesyuarat dalam tempoh terdekat ini untuk menentukan hala tuju kita dalam PRN17, termasuk siapa dan parti yang akan menjadi rakan kerjasama, menentukan agihan kerusi dan lain-lain,” katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan penyerahan sumbangan sebanyak 200 ekor lembu korban sempena sambutan Hari Raya Aidiladha di Pusat Kebudayaan Rumpun Bajau Samah Sabah, Kampung Lok Batik, di sini, hari ini.
Hajiji yang juga Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) diminta mengulas kenyataan Ketua Umno Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, bahawa Umno Sabah hanya akan menimbangkan kerjasama dengan GRS selepas PRN17.
Hajiji berkata, kenyataan Bung itu merupakan pandangan peribadi beliau.
“Itu adalah pandangan Bung,” katanya.


































