MEKAH: Arab Saudi mengesahkan lima kes keletihan haba dalam kalangan lebih sejuta jemaah yang tiba bagi menunaikan ibadah haji tahun ini berikutan cuaca panas ekstrem.
Menurut Utusan Malaysia, Kementerian Kesihatan Arab Saudi memaklumkan, semua jemaah yang terjejas menerima rawatan perubatan segera dan kini berada dalam keadaan stabil.
Pasukan kesihatan kini berada dalam keadaan berjaga-jaga sebagai sebahagian daripada komitmen kerajaan untuk memastikan keselamatan dan kesihatan para jemaah.
Pusat Meteorologi Kebangsaan Arab Saudi meramalkan cuaca panas hingga sangat panas di kawasan suci sepanjang musim haji tahun ini. Suhu maksimum dijangka mencecah antara 40 hingga 47 darjah Celsius, manakala suhu minimum sekitar 27 hingga 32 darjah Celsius.
Dalam satu hantaran di akaun rasmi X, kementerian menasihati jemaah supaya sentiasa terhidrat, mengelakkan pendedahan langsung kepada cahaya matahari dalam tempoh lama dan mematuhi garis panduan kesihatan rasmi seperti menggunakan laluan berbumbung, memakai pakaian pelindung sesuai serta mendapatkan bantuan jika mula berasa letih.
“Jika tidak dirawat segera, keletihan haba boleh bertukar menjadi strok haba dalam tempoh 10 hingga 15 minit, satu kecemasan perubatan yang boleh mengancam nyawa,” menurut hantaran tersebut.
Kementerian turut menasihatkan agar jemaah yang mengalami gejala keletihan haba segera mengambil langkah penyejukan seperti membasuh tangan, muka dan leher dengan air sejuk, berpindah ke kawasan lebih sejuk serta minum air yang banyak bagi mengelakkan dehidrasi.
Antara simptom utama keletihan haba yang dikenal pasti termasuk sakit kepala, peluh berlebihan, loya, pening dan dahaga yang melampau.
Kempen kesedaran dalam pelbagai bahasa telah dilancarkan dan kesiapsiagaan di lapangan turut ditingkatkan khususnya dalam menangani risiko cuaca panas musim haji.
Kementerian Kesihatan sebelum ini mengumumkan bahawa sektor kesihatan bersedia menerima jemaah dengan peningkatan kapasiti katil sebanyak 60 peratus berbanding tahun lalu.
































