TORONTO: Sebuah universiti terkemuka di Kanada memperkenalkan kursus ringkas bagi membantu mahasiswa menjalani asas kehidupan seperti menukar tayar, membeli barangan runcit dan membasuh pakaian.
Menurut Utusan Malaysia, Universiti Waterloo yang terkenal dengan program matematik, sains komputer dan kejuruteraan di wilayah Ontario memperkenalkan kursus secara dalam talian yang diberi nama Adulting 101.
Kursus tersebut dirangka untuk mengajar kemahiran hidup asas seperti memasak, menyusun bajet, pemakanan asas, membasuh pakaian serta cara membeli barangan dapur.
Kursus ini turut memberi penekanan kepada aspek kesihatan mental dan fizikal, serta menggalakkan pelajar meneroka pertumbuhan diri secara menyeluruh.
Universiti tersebut juga menyediakan penilaian kemahiran bagi membantu pelajar mengenal pasti kekuatan serta kelemahan diri, terutamanya dalam golongan Generasi Z.
Kursus ini merangkumi topik seperti menjaga hubungan sosial yang sihat, keselamatan ketika memasak, dan kemahiran menukar tayar.
Bagi sesetengah pelajar, kursus ini dianggap penyelamat bukan sahaja dari segi pengurusan hidup, malah meningkatkan keyakinan diri menjalani kehidupan sebagai orang dewasa.
Menurut Pengarah Kejayaan Pelajar Universiti Toronto Metropolitan, Pam Charbonneau, ramai pelajar meluahkan rasa tertekan dan cemas ketika menyesuaikan diri selepas tamat sekolah menengah, namun dengan kursus Adulting 101, mereka berasa lebih bersedia dan tidak keseorangan.
Satu ulasan yang diterbitkan dalam Journal of Pediatrics pada tahun 2023 menyatakan kekurangan peluang untuk bersosial tanpa kehadiran orang dewasa menyumbang kepada peningkatan kadar kebimbangan, kemurungan dan kes bunuh diri dalam kalangan remaja.
Beberapa universiti lain juga mengambil langkah serupa dengan menawarkan kursus berkaitan perancangan kewangan, pertolongan cemas dan kemahiran asas hidup lain.


































