WASHINGTON: Mahkamah Perdagangan Antarabangsa Amerika Syarikat (AS) semalam menyekat serta-merta hampir keseluruhan tarif import yang dilaksanakan pentadbiran Presiden Donald Trump.
Menurut Utusan Malaysia, mahkamah menyatakan pemimpin AS itu sudah melangkaui bidang kuasa yang ditetapkan.
Keputusan itu memberi tamparan kepada Trump yang sebelum ini mengancam hubungan diplomatik dengan seluruh dunia sekiranya tiada kerajaan yang bersetuju dengan tarif dilaksanakan.
Perang perdagangan yang dilancarkan Trump mencetuskan ketidakstabilan dalam pasaran saham dunia, malah memberi kesan terhadap ekonomi negara ini.
Panel tiga hakim di mahkamah tersebut mengeluarkan arahan supaya gencatan tarif dilaksanakan serta-merta, sekali gus menyekat semua perancangan yang dilakukan Trump sebelum ini.
Rumah Putih menyelar keputusan itu dengan menyatakan tiga panel hakim berkenaan tidak mempunyai hak untuk menarik balik tindakan Trump.
“Presiden Trump berikrar mahu mengembalikan semula kuasa rakyat AS dan pentadbirannya komited menggunakan semua peringkat kuasa yang ada untuk menangani krisis berlaku serta mengembalikan kehebatan Amerika,” kata jurucakap Trump, Kush Desai.
Namun, kenyataan itu tidak menyebut sebarang tindakan undang-undang walaupun banyak syarikat perniagaan memaklumkan pentadbiran Trump sudah pun mengemukakan tuntutan undang-undang.
Seorang daripada penasihat rapat Trump di Rumah Putih, Stephen Miller berkata, keputusan mahkamah tersebut disifatkan sebagai ‘luar kawalan’.
Trump sebelum ini mendedahkan pelaksanaan tarif perdagangan besar-besaran pada 2 April lalu dengan kadar asas sebanyak 10 peratus, sekali gus memberi kesan terhadap kuasa ekonomi dunia seperti China dan Kesatuan Eropah (EU).
Pasaran saham dunia menjadi tidak menentu selepas Trump menangguhkan pelaksanaan tarif selama 90 hari, selain menggantung rundingan dengan beberapa negara.


































