SINGAPURA: Bilangan penghidap penyakit kardiovaskular di Asia Tenggara melonjak sebanyak sebanyak 148 peratus dalam tempoh tiga dekad lalu, menjadikannya punca utama kematain dan ketidakupayaan di rantau itu.
Menurut Utusan Malaysia, sejumlah 37 juta orang di rantau itu dilaporkan menghidap penyakit kardiovaskular pada 2021, dengan 1.7 juta kematian direkodkan akibatnya.
Penemuan oleh penyelidik di Institut Metrik dan Penilaian Kesihatan (IMHE) yang berpangkalan di Seattle dan Universiti Nasional Singapura (NUS), adalah berdasarkan analisis data kesihatan antara 1990 dan 2021, melibatkan 10 negara Asia Tenggara yang membentuk blok ASEAN.
Hasil kajian yang diterbitkan minggu ini dalam edisi khas The Lancet Public Health mengenai rantau itu, turut mengetengahkan beban kesihatan awam yang semakin meningkat, termasuk penyakit kardiovaskular, gangguan mental, tabiat merokok serta kemalangan jalan raya.
Antara punca utama penyakit kardiovaskular ialah tekanan darah sistolik tinggi, risiko pemakanan, pencemaran udara, paras gula dan kolestrol (LDL) tinggi serta penggunaan tembakau.
Menurut penulis utama kajian, Dr Marie Ng, peningkatan populasi warga emas di rantau itu turut menyumbang peningkatan kes yang ketara.
“Tanpa tindakan segera dari setiap negara, penyakit yang sebenarnya boleh dicegah ini akan menjadi semakin parah menyebabkan lebih banyak kematian dan kecacatan di seluruh ASEAN,” katanya.
Dalam masa sama, kajian turut menunjukkan peningkatan kematian akibat penyakit jantung semasa pandemik Covid-19 melebihi jangkaan awal.
Kajian berasingan pada 2023 juga memberi amaran mengenai peningkatan risiko penyakit kardiovaskular dalam kalangan kanak-kanak yang dilahirkan oleh ibu yang dijangkiti Covid-19 semasa mengandung.
Kajian terbaru yang diterbitkan dalam The Lancet Public Health turut mendedahkan bahawa lebih 80 juta penduduk ASEAN mengalami gangguan mental utama, meningkat 70 peratus berbanding 1990.
Dari segi umur, golongan remaja berusia 15 hingga 19 tahun mencatatkan peningkatan paling ketara dengan kadar prevalens hampir mencecah 11 peratus.


































