LONDON: Jualan kereta elektrik baharu Tesla menjunam hampir separuh di seluruh Eropah bulan lalu, di tengah-tengah tindak balas politik terhadap Ketua Pegawai Eksekutifnya, Elon Musk.
Menurut Utusan Malaysia, data terbaharu Persatuan Pengeluar Automobil Eropah (ACEA) menunjukkan, jumlah pendaftaran kenderaan Tesla menurun kepada 7,261 unit pada April lalu, berbanding 14,228 unit pada bulan sama tahun sebelumnya, penurunan sebanyak 49 peratus.
Penurunan itu berlaku meskipun pasaran kenderaan elektrik secara keseluruhannya mencatatkan peningkatan, di mana jualan kenderaan elektrik bateri (BEV) meningkat 27.8 peratus, manakala jualan kereta petrol dan diesel masing-masing merosot 22.4 dan 24.7 peratus.
Tesla kini berdepan gelombang bantahan di beberapa negara Eropah susulan sokongan terbuka Musk terhadap Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump serta parti sayap kanan Alternative für Deutschland (AfD) di Jerman.
Di United Kingdom (UK), Tesla hanya mendaftarkan 512 unit kenderaan baharu pada April, penurunan 62 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu, menurut data Persatuan Pengeluar dan Pedagang Motor (SMMT)
Bagaimanapun, syarikat milik Elon Musk itu tetap mempertahankan kedudukannya.
Bercakap dalam Forum Ekonomi Qatar minggu lalu, Musk mendakwa kepada Bloomberg bahawa Eropah merupakan pasaran paling lemah bagi Tesla, tetapi syarikat itu masih kukuh di tempat lain.
Beliau mengaku kehilangan pelanggan daripada kumpulan berhaluan kiri, namun menyatakan Tesla menang di pihak berhaluan kanan.
Dalam suku pertama tahun ini, Tesla mencatat penurunan jualan global sebanyak 13 peratus menjadikannya prestasi suku tahun terburuk sejak 2022.
Namun, saham syarikat tersebut melonjak kira-kira 25 peratus sepanjang bulan lalu, selepas laporan mengatakan Musk akan mengurangkan penglibatannya sebagai penasihat kepada pentadbiran Trump.
Terdapat harapan pengenalan semula Model Y dengan reka bentuk baharu mampu memulihkan permintaan, namun angka jualan yang lemah di pasaran China dan Eropah menunjukkan sambutan yang sederhana.
Selain isu politik, penganalisis di bank pelaburan UBS berpandangan Tesla kini turut diasak oleh pesaing tempatan di China.
Antara yang paling ketara ialah jenama BYD yang dilaporkan mencatat jualan global melebihi AS$100 bilion (RM466 bilion) tahun lalu, sekali gus mengatasi Tesla sebagai pengeluar kenderaan elektrik terbesar dunia dari segi pendapatan.


































