PENAMPANG: Dua lelaki maut manakala seorang lagi cedera selepas kenderaan pacuan empat roda yang mereka naiki terbabas sebelum terjunam ke dalam gaung sedalam kira-kira 60 meter di Kilometer 43 Jalan Tambunan–Penampang (Gunung Emas), malam tadi.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintenden Sammy Newton berkata, kejadian berlaku sekitar jam 9.40 malam dan pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang menerima maklumat awam berhubung insiden tersebut tidak lama kemudian.
“Siasatan awal mendapati pacuan empat roda yang dipandu seorang lelaki tempatan berusia 54 tahun dalam perjalanan dari arah Tambunan ke Penampang dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan terjunam ke dalam gaung,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, akibat kemalangan itu, pemandu dan seorang penumpang lelaki tempatan berusia 49 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan yang hadir.
“Kedua-dua mayat telah dihantar ke Jabatan Forensik, Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu untuk proses bedah siasat,” katanya.
Tambah beliau, seorang lagi penumpang lelaki berusia 29 tahun turut mengalami kecederaan dan telah dihantar ke hospital oleh pasukan ambulans untuk menerima rawatan lanjut.
Kes kini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian akibat memandu secara melulu atau membahayakan.
“Polis menyeru mana-mana individu yang menyaksikan kejadian agar tampil menyalurkan maklumat bagi membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Insp. Saparia Ladoni di talian 019-8095133,” katanya.
Beliau turut menasihati orang awam supaya lebih berhati-hati ketika memandu, terutamanya di kawasan berbukit dan curam seperti Gunung Emas.
“Pihak polis juga menggesa orang ramai agar tidak menularkan sebarang imej atau klip video berkaitan kejadian di media sosial bagi menghormati perasaan dan sensitiviti keluarga mangsa,” katanya.


































