Halizah bersama barisan ahli jawatankuasa Wanita Gagasan Rakyat Likas.
KOTA KINABALU: Ahli-ahli Pergerakan Wanita Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Likas diseru agar terus menanam dan mengamalkan semangat setia kawan sebagai asas perjuangan politik, khususnya menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-17 Sabah yang dijangka semakin hampir.
Ketua Wanita Gagasan Rakyat Bahagian Likas, Halizah Din berkata, perjuangan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) merupakan perjuangan kolektif yang membawa suara dan harapan rakyat Sabah, justeru memerlukan komitmen dan kesepaduan semua ahli parti dalam memperkukuh jentera serta strategi gerak kerja di peringkat akar umbi.
Menurutnya, dalam situasi politik yang sering berubah dan tidak menentu, ahli parti harus kekal berprinsip dan bersatu dalam menghadapi sebarang cabaran luar jangka yang mungkin timbul.
“Andai kata berlaku sesuatu di luar perancangan dan perjalanan politik kita, sama-sama kita hadapinya. Anggap ini satu cabaran dan ujian kepada kekuatan kita. Teruskan semangat setia kawan, cari rakan strategik yang benar-benar ikhlas berjuang bersama kita – bukan demi jawatan, bukan demi nama, tetapi demi rakyat Sabah,” katanya semasa menyampaikan ucapan dan usul pada Persidangan Tahunan Wanita Gagasan Rakyat Bahagian Likas 2025 yang berlangsung di sini, semalam.
Halizah turut menyuarakan keyakinan bahawa GRS mampu mengekalkan kemenangan dan membentuk semula kerajaan negeri, sekiranya ahli dan jentera parti terus kekal setia, bekerja keras dan mengutamakan perjuangan parti melebihi kepentingan peribadi.
“Kita percaya bahawa bilangan kerusi GRS dalam PRN nanti akan menjadi faktor penentu – sama ada kita mampu membentuk kerajaan secara bersendirian atau menjadi kuasa penentu dalam rundingan pembentukan kerajaan,” ujarnya.
Beliau juga menekankan bahawa masa telah tiba untuk memberi lebih banyak ruang kepada wanita untuk bertanding dalam pilihan raya demi memperkukuh suara dan pengaruh wanita dalam dasar dan pentadbiran negeri.
“Saya berharap GRS memberi lebih banyak ruang dan peluang kepada wanita untuk menjadi calon PRN ke-17 kerana sudah tiba masanya suara wanita diberi tempat dalam proses membuat keputusan dan membawa perubahan yang lebih signifikan, khususnya dalam membentuk hala tuju Sabah,” katanya.
Menurut Halizah, sasaran penyertaan wanita sebanyak 30 peratus bukan sekadar satu angka simbolik, tetapi harus menjadi komitmen nyata yang mencerminkan pengiktirafan terhadap keupayaan, dedikasi dan sumbangan besar golongan wanita kepada pembangunan negeri.
Beliau berkata, wanita bukan sekadar pelengkap dalam struktur organisasi politik, malah menjadi tonggak penting yang mampu menyumbang idea, tenaga dan kepimpinan yang berkualiti.
“Wanita telah lama membuktikan kemampuan dalam pelbagai bidang – pendidikan, ekonomi, kesihatan, dan kemasyarakatan. Maka sudah tiba masanya kita diberi kepercayaan lebih luas dalam bidang politik,” katanya lagi.
Dalam pada itu, beliau menyeru agar seluruh ahli wanita Gagasan Rakyat Likas terus memperkukuh solidariti dan memperluas rangkaian kerjasama bersama sayap-sayap lain seperti Pemuda dan Beliawanis bagi memastikan kemenangan parti dapat dicapai secara menyeluruh.
Katanya, kekuatan sesebuah parti bukan hanya terletak pada kepimpinan tertinggi, tetapi turut bergantung kepada keteguhan akar umbi yang menjadi penggerak utama perjuangan di peringkat kawasan.
Terdahulu, turut berlangsung Persidangan Tahunan Pemuda Gagasan Rakyat Bahagian Likas dan Persidangan Tahunan Beliawanis Gagasan Rakyat Bahagian Likas yang menyaksikan pembentangan usul serta perbahasan pelbagai isu semasa melibatkan generasi muda.
Persidangan tersebut diadakan sebagai sebahagian daripada persiapan menghadapi PRN akan datang, selain bertujuan mengukuhkan jalinan kerjasama antara semua peringkat kepimpinan parti di Bahagian Likas.































