BYNESET: Seorang lelaki di Norway terkejut apabila mendapati sebuah kapal kontena sepanjang 135 meter tersadai di hadapan rumahnya, hanya beberapa meter dari bilik tidurnya.
Menurut Utusan Malaysia, Johan Helberg berkata, insiden itu berlaku sekitar pukul 5 pagi (waktu tempatan) kelmarin di Byneset, berhampiran Trondheim apabila kapal kargo NCL Salten yang berdaftar di Cyprus, terbabas dari laluan asal di Fjord Trondheim menuju ke Orkanger.
“Selepas bangun tidur, saya pergi ke tingkap dan sangat terkejut melihat ada sebuah kapal besar. Saya terpaksa mendongak untuk melihat bahagian atasnya. Ia sangat luar biasa.
“Kurang lima meter sahaja dari dinding bilik tidur saya. Anehnya saya tidak mendengar apa-apa sebelum itu. Ia ‘jiran baharu’ yang sangat besar,” katanya kepada Norwegian Broadcasting Corporation.
Kejadian itu hanya disedari selepas apabila jirannya, Jostein Jorgensen yang mendengar bunyi kapal itu meluru ke kawasan itu dan segera menghubungi Helberg.
Kapal itu membawa 16 anak kapal dan tiada kecederaan dilaporkan namun punca kejadian masih disiasat oleh pihak berkuasa Norway.
Pengarah urusan syarikat NCL, Bente Hetland, menyifatkan insiden itu sangat serius dan sedang menunggu hasil siasatan pihak berkuasa.
Menurut laporan, kapal sama pernah terkandas ke darat pada tahun 2023 namun berjaya berundur semula ke laut menggunakan kuasanya sendiri.


































