BANGKOK: Kerajaan Thailand bakal mewajibkan pembeli ganja mengemukakan sijil perubatan sebagai syarat pembelian dalam usaha memperketat kawalan terhadap penggunaan tumbuhan itu selepas tiga tahun ia dinyahjenayah.
Thailand menjadi antara negara pertama di Asia yang membenarkan penggunaan ganja, namun langkah itu dilakukan tanpa penggubalan undang-undang khusus bagi mengawal penjualan, pengeluaran atau penggunaannya.
Akibatnya, industri ganja berkembang pesat secara mendadak dengan puluhan ribu kedai runcit dibuka terutamanya di kawasan pelancongan seperti Bangkok dan pulau peranginan Phuket.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Jabatan Perubatan Tradisional dan Alternatif Kementerian Kesihatan, Somruek Chungsaman berkata, peraturan baharu itu dijangka diumumkan dalam tempoh 40 hari dan bertujuan memastikan ganja digunakan semata-mata untuk tujuan perubatan.
“Sesiapa sahaja sama ada warga Thailand atau pelancong asing yang ingin membeli bunga ganja untuk dihisap mesti mendapatkan preskripsi doktor terlebih dahulu.
“Kami tidak mahu orang datang ke Thailand hanya semata-mata untuk menghisap ganja. Ia memberi imej negatif kepada negara,” katanya kepada Reuters.
Sebelum ini, Menteri Kesihatan Thailand menyatakan bahawa penggunaan ganja untuk tujuan rekreasi akan diharamkan menjelang akhir tahun lalu namun tiada sekatan konkrit dilaksanakan sehingga kini terhadap industri yang dianggarkan bernilai lebih AS$1 bilion (RM4.26 bilion) setahun itu.
Setakat ini, pihak berkuasa hanya memperkenalkan peraturan kecil seperti mengharamkan ganja di sekolah dan mewajibkan peniaga memberi maklumat jelas mengenai penggunaan ganja dalam makanan dan minuman sebagai langkah sementara mengawal industri tersebut.
Kementerian Kesihatan kini sedang merangka undang-undang ganja komprehensif yang perlu mendapat kelulusan Kabinet sebelum dibentangkan di Parlimen untuk perbahasan.
Namun begitu, kumpulan penyokong ganja menganggap syarat baru itu tidak relevan kerana populariti ganja sudah merosot sejak lonjakan awal penggunaannya.