Abidin mewakili Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor bergambar bersama wakil-wakil rumah amal yang menerima sumbangan.
KOTA KINABALU: Golongan belia adalah pembawa obor perubahan masa kini dan merupakan pemimpin negara masa depan, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor.
Katanya, penglibatan belia secara aktif dalam kerja kebajikan mencerminkan kematangan dan keprihatinan terhadap masyarakat, di samping membuktikan kesediaan mereka untuk menggalas tanggungjawab sebagai pemimpin masa hadapan.
“Mereka bukan sekadar pemimpin hari esok, tetapi penyumbang penting kepada kemajuan hari ini. Tenaga, kreativiti dan idealisme mereka harus digilap dan dimanfaatkan,” katanya pada Majlis Makan Malam Amal dan Perasmian Persatuan Kebajikan San Chuan Sabah di Dewan Hakka di sini, malam ini. Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Abidin Madingkir.
Hajiji berkata, bagi memperkukuhkan pembangunan belia, Kerajaan akan merangka Enakmen Pembangunan Belia Sabah sebagai platform perundangan untuk memperkukuh struktur organisasi belia, mengiktiraf aktivisme mereka secara rasmi dan menyediakan ruang yang lebih sistematik untuk pembangunan jangka panjang.
“Melalui enakmen ini, kita mahu setiap pemimpin belia Sabah diberikan masa, ruang dan sokongan untuk memimpin dengan yakin serta menyumbang secara bermakna kepada negeri,” ujarnya.
Hajiji turut memuji pendekatan Persatuan Kebajikan San Chuan Sabah yang berjaya
menarik penyertaan lebih 90 peratus golongan belia sebagai ahli aktif dan model penglibatan ini harus dicontohi dan digalakkan.
“Kehadiran belia dalam kegiatan sukarela dan kebajikan menunjukkan mereka peduli, bertanggungjawab dan mampu menyatukan pelbagai komuniti untuk tujuan bersama,” katanya turut merujuk kepada penggunaan media sosial sebagai alat penyebaran kesedaran yang berkesan oleh golongan muda.
Beliau juga menyambut baik inisiatif ahli persatuan itu yang kini dalam usaha mengumpul dana untuk memiliki bangunan sendiri, satu langkah strategik ke arah operasi yang lebih tersusun dan lestari.
Hajiji yakin dengan sokongan masyarakat serta para dermawan, impian ini akan menjadi kenyataan dan membuka lebih banyak ruang kepada aktiviti kebajikan di
masa depan.
“Saya berharap kejayaan penganjuran majlis malam ini akan menjadi inspirasi kepada golongan belia untuk terus menyumbang kepada kebajikan masyarakat dan kemajuan Sabah,” katanya.