LONDON: Penjenayah seksual termasuk pedofil dan perogol mungkin dikenakan hukuman kembiri secara kimia di bawah cadangan baharu oleh kerajaan United Kingdom (UK).
Menurut Utusan Malaysia, Setiausaha Kehakiman, Shabana Mahmood meneliti pelaksanaan rawatan pemandulan kimia di 20 buah penjara di England dan Wales sebagai langkah awal sebelum diperluaskan ke seluruh negara.
Rawatan ini menggunakan ubat-ubatan untuk mengurangkan nafsu seksual dan telah terbukti mengurangkan kadar jenayah seksual sehingga hampir dua pertiga berdasarkan beberapa kajian.
“Selama ini kita memandang remeh ancaman yang dibawa oleh pesalah seksual kerana menganggap penyelesaiannya terlalu sukar atau tidak disenangi masyarakat.
“Sehubungan itu, kerajaan tidak gentar mengambil tindakan tegas demi melindungi orang awam,” kata sumber kerajaan kepada akhbar The Sun.
Menurut laporan, kerajaan mahu mempertimbangkan pendekatan yang lebih tegas dalam membendung jenayah seksual di negara ini.
Hukuman pemandulan kimia sudah digunakan di beberapa negeri di Amerika Syarikat (AS) termasuk California terhadap pesalah seksual yang dibebaskan secara parol.
Di Eropah, kaedah ini dijalankan secara sukarela di negara seperti Jerman, Perancis, Sweden dan Denmark dengan sebilangan pesalah sendiri memilih rawatan tersebut.
Pemandulan kimia melibatkan pengambilan dua jenis ubat iaitu satu untuk mengehadkan pemikiran seksual dan satu lagi untuk mengurangkan hormon testosteron yang mengawal libido.
Tinjauan pendapat yang dijalankan pada Februari lalu menunjukkan lebih dua per tiga pengundi bawah umur 30 tahun menyokong hukuman kembiri terhadap pesalah seksual.
Kajian oleh Find Out Now itu merekodkan 67 peratus responden menyokong pemandulan kimia, manakala hanya 24 peratus menentangnya, mencerminkan sikap tegas golongan muda terhadap isu keselamatan dan undang-undang.
Cadangan serupa turut pernah dikemukakan di beberapa negara lain seperti Cyprus sebagai alternatif kepada hukuman penjara seumur hidup.


































