Anwar Ibrahim
JOHOR BAHRU: Malaysia kini menjadi salah satu hab terbesar semikonduktor di rantau Asia Tenggara.
Menurut Utusan Malaysia, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, setakat ini terdapat tiga syarikat gergasi industri itu telah bertapak di negara ini.
Katanya, syarikat tersebut ialah Infineon Technologies dari Jerman di Taman Teknologi Tinggi Kulim (KHTP); syarikat teknologi dari Amerika Syarikat, Nvidia di Kulai dan syarikat tempatan, Maistorage Technology Sdn. Bhd..
“Anak-anak muda perlu ambil peluang ini sebaik mungkin dan memanfaatkan daripada perkembangan ini menjadikan Malaysia negara hebat di rantau kita,” katanya semasa merasmikan Program Madani Rakyat 2025 di pusat beli-belah Toppen, di sini kelmarin. Yang turut hadir, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.
Perdana Menteri turut memberikan pujian kepada syarikat tempatan, Maistorage Technology Sdn. Bhd. yang menjadi gergasi dalam industri semikonduktor.
Katanya, hasil teknologi dan kepakaran tempatan itu setanding cip yang dihasilkan syarikat di Amerika Syarikat, China dan Taiwan.
“Tidak mungkin ini berlaku jika tidak ada kesungguhan oleh anak-anak muda yang belajar kejuruteraan, kimia dan lain-lain yang bersungguh-sungguh untuk tingkatkan keupayaan kita.
“Ini baru ertinya merdeka pemikiran, merdeka negara bila kita mampu urus kepentingan negara sendiri. Kita kena hapuskan elemen yang merosakkan sama ada dari segi kaum, agama atau daripada pemimpin yang nak bolot kekayaan untuk diri mereka,” katanya.