Sindiket kumpulan yang dikenali ‘Ejen 001’ dan ‘Al-Ameen’ berjaya ditumpaskan Jabatan Imigresen kerana terlibat dalam kegiatan penyalahgunaan dan pemalsuan dokumen imigresen dalam dua operasi khas berasingan dilakukan di sekitar Kuala Lumpur.
PUTRAJAYA: Sindiket kumpulan yang dikenali ‘Ejen 001’ dan ‘Al-Ameen’ berjaya ditumpaskan Jabatan Imigresen kerana terlibat dalam kegiatan penyalahgunaan dan pemalsuan dokumen imigresen dalam dua operasi khas berasingan dilakukan di sekitar Kuala Lumpur.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Pengarah JIM, Datuk Zakaria Shaaban berkata, dalam satu serbuan di tiga lokasi sekitar Jalan Ampang dan Jalan Kia Peng, Kuala Lumpur, enam individu iaitu lima warganegara China dan seorang warganegara Myanmar, berusia antara 28 hingga 41 tahun ditahan.
Katanya, siasatan awal mendapati, kumpulan dikenali Ejen 001 itu didalangi seorang lelaki warganegara China disyaki menawarkan perkhidmatan berkaitan dokumen imigresen kepada warganegara China di negara ini, seperti permohonan Pas Lawatan Sosial dan Pas Khas.
“Kegiatan ini berselindung di sebalik premis pejabat yang dijadikan pusat operasi bagi mengaburi pihak berkuasa.
“Bayaran yang dikenakan adalah antara RM10,000 hingga RM15,000 bagi setiap perkhidmatan yang ditawarkan dan dipercayai telah beroperasi sejak enam bulan lalu,” katanya dalam kenyataan kelmarin.
Zakaria berkata, pasukan operasi telah menyita sebanyak 23 naskhah pasport China, satu naskhah pasport Vanuatu, dua set CPU komputer, cop premis, empat unit telefon bimbit, dua keping kad Employment Pass (EP), dua set salinan permohonan MDEC, satu unit dokumen perjalanan China dan wang tunai berjumlah RM50,000.
Kata Beliau, balam serbuan kedua pula di tiga premis perniagaan sekitar Jalan Raja Laut, pasukan operasi berjaya menahan tiga lelaki warganegara Bangladesh berusia antara 24 hingga 32 tahun yang dikenal pasti terlibat dalam kegiatan pemalsuan dokumen imigresen ePLKS.
Katanya, hasil maklumat awam dan risikan selama tiga minggu mendapati kumpulan yang dikenali Al-Ameen itu menjalankan kegiatan pemalsuan ePLKS dengan menyasarkan warga Bangladesh yang tidak mempunyai mempunyai pas kerja untuk bekerja di negara ini.
“Hasil semakan pada ‘Kod QR’ di ePLKS mendapati pemilik merupakan individu lain dan tiada maklumat.
“Sindiket ini berselindung di sebalik kedai telefon bimbit bagi mengaburi pihak berkuasa untuk menjalankan aktiviti haram ini dan telah beroperasi selama enam bulan,” katanya.
Jelasnya, kadar bayaran yang dikenakan adalah sebanyak RM30 hingga RM70 bagi satu unit ePLKS palsu yang akan digunakan pelanggan untuk bekerja di negara ini.
Katanya, pasukan operasi telah menyita sebanyak 18 naskhah pasport Bangladesh, satu naskhah pasport Pakistan, tiga unit komputer riba, dua unit mesin pencetak, CCTV, lesen DBKL dan wang tunai berjumlah RM3,446.00.
“Kesemua individu yang ditahan dibawa ke Depot Imigresen Putrajaya bagi siasatan dan tindakan lanjut.
“Tindakan undang-undang dikenakan mengikut peruntukan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 berdasarkan kesalahan masing-masing,” katanya.
Selain itu, lapan warganegara Malaysia turut diberikan Notis hadir ke pejabat bagi membantu siasatan.