Dr. Roland Chia
KOTA KINABALU: Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Datuk Dr. Roland Chia mengkritik Naib Presiden Warisan, Datuk Junz Wong kerana didakwa mengelirukan orang awam apabila menyalahkan Kerajaan Negeri Sabah pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berhubung pemansuhan subsidi gas petroleum cecair (LPG).
Dr. Chia menegaskan bahawa keputusan merasionalisasi subsidi LPG adalah sepenuhnya di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan dan bukan tanggungjawab pentadbiran negeri Sabah.
“Junz Wong telah silap sasaran. Dasar subsidi LPG adalah urusan Kerajaan Persekutuan dan tiada kaitan dengan Kerajaan Negeri Sabah yang dipimpin GRS. Kritikan beliau dilihat hanya bertujuan mengelirukan rakyat Sabah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, langkah pemansuhan subsidi LPG merupakan sebahagian daripada pelan rasionalisasi subsidi Kerajaan Persekutuan yang lebih besar, bertujuan menjimatkan kira-kira RM12 bilion setahun.
“Dasar subsidi ditentukan di Putrajaya, bukan di Kota Kinabalu. Warisan sebagai sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan seharusnya membawa perkara ini kepada rakan-rakan mereka yang berada di sana. Malah salah seorang pemimpin mereka memegang jawatan Timbalan Menteri,” tambahnya.
Dr. Chia turut mengetengahkan pencapaian ekonomi Kerajaan GRS sejak mengambil alih pentadbiran daripada Warisan.
“Semasa pentadbiran Warisan, jumlah geran khas tahunan Persekutuan kepada Sabah hanyalah RM53 juta. Di bawah GRS, jumlah ini telah meningkat kepada RM600 juta setahun – bukti jelas hubungan kerjasama yang lebih kukuh dan sokongan fiskal yang lebih baik daripada Kerajaan Persekutuan,” katanya.
Beliau menjelaskan bahawa Kerajaan GRS telah menggunakan sebahagian peruntukan itu untuk melaksanakan program-program berimpak tinggi seperti inisiatif Rumah Mesra SMJ yang menyediakan perumahan mampu milik kepada mereka yang memerlukan daripada golongan B40 tanpa mengira kaum atau agama.
Selain itu, GRS turut memperkenalkan bantuan sekali gus sebanyak RM5,000 kepada penjaja berlesen dalam Belanjawan Sabah 2025 bagi meringankan beban kewangan mereka. Satu lagi program kebajikan ialah Program Sentuhan Kasih Rakyat yang menyediakan bantuan bulanan RM300 kepada isi rumah miskin tegar selama setahun.
Dr. Chia turut mempersoalkan pencapaian kerajaan Warisan dalam tempoh 22 bulan mereka memegang tampuk pemerintahan, dan menggesa Wong untuk menilai semula prestasi mereka sendiri daripada terus menyerang pentadbiran negeri yang ada kini atas perkara di luar bidang kuasa mereka.
“Daripada membuat dakwaan tidak berasas demi publisiti murahan, para pemimpin Warisan seharusnya mengingati rekod pencapaian mereka sendiri. Rakyat Sabah berhak mendapat wacana yang membina, bukan gangguan politik,” katanya.


































