Redonah bergambar bersama para pemenang Sodup Unduk Ngadau Daerah Kota Marudu 2025.
KOTA MARUDU: Pertandingan Unduk Ngadau bukan sekadar pentas mempamerkan kecantikan luaran, sebaliknya melambangkan kekayaan warisan dan identiti rakyat Sabah.
Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Datuk Redonah Bahanda berkata, pertandingan itu membawa makna yang mendalam sebagai perayaan warisan budaya yang perlu terus dipelihara.
“Ia mempamerkan kecantikan budaya kita, keindahan pakaian tradisional, keluhuran bahasa, keistimewaan makanan tradisi dan pastinya semangat juang yang tidak pernah pudar,” katanya.
Beliau berkata, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM13.66 juta tahun ini bagi usaha pemeliharaan warisan budaya dan seni Sabah.
“Ia bagi memastikan warisan seperti pakaian tradisional etnik Sabah bukan sahaja diwarisi oleh generasi kini, tetapi juga dilindungi untuk generasi akan datang. Inilah usaha Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor.
“Saya berharap minat terhadap warisan budaya kita dapat dikekalkan dan diwarisi dari satu generasi ke generasi yang lain. Para peserta Unduk Ngadau sendiri perlu mengambil peluang menjadi duta pemeliharaan budaya, bahasa dan tradisi suku kaum Kadazandusun.
“Saya percaya bahawa kemajuan tidak harus mengorbankan identiti. Kita boleh membina jalan, internet dan kemudahan tanpa melupakan tarian tradisi dan bunyi gong. Kita boleh menuju masa depan dengan tetap menggenggam sejarah tradisi,” katanya semasa merasmikan Sodop Unduk Ngadau Kaamatan peringkat Daerah Kota Marudu 2025 di Dewan Komuniti Kota Marudu, semalam.
Redonah berkata, pertandingan Unduk Ngadau juga menyokong usaha Kerajaan Negeri memperkukuh pelancongan budaya melalui promosi warisan tempatan.
“Keunikan busana etnik Kadazandusun boleh menjadi tarikan bukan sahaja di peringkat negeri, malah antarabangsa,” katanya.
Tambah beliau, tema Pesta Kaamatan tahun ini, ‘Kaamatan Untuk Semua’, membawa mesej penting bahawa semangat Kaamatan adalah milik bersama seluruh rakyat Sabah tanpa mengira kaum.
Selain itu, pertandingan ini turut membuka ruang kepada pereka fesyen tempatan mempamerkan rekaan masing-masing serta memberi peluang kepada jurusolek (MUA) untuk menjana pendapatan.
Bagi edisi tahun ini, Ellysua Mojuning dinobatkan sebagai johan Sodop Unduk Ngadau Kota Marudu, diikuti Adzlin Madzim Edward Kibut (naib johan) dan Florence Janis di tempat ketiga.
Turut hadir, Pegawai Daerah Kota Marudu yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Pesta Kaamatan Daerah 2025, Meirin Sugara; Penolong Pegawai Daerah (Pembangunan), Marck @ Hassan Libau; Penolong Pegawai Daerah (Pentadbiran) merangkap AJK Tertinggi, Suffian @ Silvester Majid; Ahli Jawatankuasa Pusat KDCA yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana, Dr. Christoper Mandut; dan Pengerusi Jawatankuasa Unduk Ngadau Daerah Kota Marudu, Zandi Lasni Elui.


































