PENAMPANG: Sebanyak 10 pasukan terbaik akan berentap bagi merebut gelaran juara Pertandingan Hiis sempena Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2025 yang akan berlangsung di Dewan Hongkod Koisaan, Persatuan Kebudayaan Kadazan Dusun (KDCA), di sini, esok (17 May)
Lima pasukan sekolah rendah dan lima pasukan sekolah menengah dari pelbagai daerah di Sabah telah melayakkan diri ke peringkat akhir selepas menewaskan pencabar lain di peringkat saringan.
Pertandingan akhir dijadualkan bermula pada jam 7.45 malam, disaksikan oleh Presiden KDCA, Huguan Siou Tan Sri Joseph Pairin Kitingan dan Datuk Raisin Saidin, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah.

Steve Johnny Mositun
Hiis atau Lilihis merupakan seni puisi tradisional masyarakat Kadazandusun yang menonjolkan kepetahan berbahasa, gaya pengucapan indah serta kebijaksanaan dalam menyampaikan mesej penuh nilai murni.
Pertandingan ini bukan sekadar pentas bakat, malah menjadi medan untuk memupuk kecintaan generasi muda terhadap warisan budaya nenek moyang mereka.
Pengerusi bersama program ialah Rindawan Steve Johnny Mositun (KDCA Pusat) dan Lorendah Joseph (Jabatan Pendidikan Negeri Sabah).

Lorendah Joseph
Program seharian ini bermula jam 10 pagi hingga 11 malam, dengan pelbagai pengisian seperti persembahan nyanyian murid, tayangan slaid juri, serta penyampaian hadiah dan penghargaan kepada para peserta dan juri.
Orang ramai dijemput hadir bagi menyaksikan perlawanan akhir yang dijangka sengit dan penuh warna-warni budaya, sekaligus memeriahkan sambutan Pesta Kaamatan peringkat negeri.
Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Jabatan Pendidikan Negeri Sabah atau KDCA.


































