SOOK: Seramai 201 Ketua Isi Rumah (KIR) dari enam buah kampung di sekitar Mukim Dalit Atas menerima sumbangan bakul makanan daripada Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ellron Angin pada Majlis Perasmian Sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Mukim Dalit Atas yang berlangsung di Dewan Nasisimpungan, Kampung Karamatoi, di sini, kelmarin.
Sumbangan tersebut merupakan antara inisiatif Ellron bagi meringankan beban penduduk yang terjejas akibat bencana banjir yang melanda beberapa kawasan di daerah Sook minggu lalu.
Enam kampung yang terlibat ialah Kampung Maliliah, Kampung Karamatoi Laut, Kampung Karamatoi Ulu, Kampung Karamatoi Tengah, Kampung Kuala Layuon dan Kampung Kuala Aging. Kesemua kampung ini merupakan antara kawasan yang paling terkesan dalam kejadian banjir tersebut.
Dalam usaha membantu mangsa banjir, Institute Development Studies (IDS) Sabah turut menyumbangkan sebanyak 20 kotak berisi makanan segera, yang dianggarkan berjumlah 1,000 pek makanan. Pejabat Daerah Sook pula menyumbangkan 25 karton minuman kepada golongan yang memerlukan. Kedua-dua sumbangan ini disampaikan sendiri oleh YB Datuk Ellron kepada para penerima.
Majlis tersebut turut dihadiri ratusan penduduk daripada 11 buah kampung sekitar Mukim Dalit Atas, mencerminkan semangat perpaduan dan kebersamaan yang utuh dalam kalangan komuniti setempat.
Sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Mukim Dalit Atas ini turut menandakan penutupan rasmi sambutan Kaamatan peringkat mukim bagi daerah Sook.
Pesta Kaamatan Peringkat Daerah Sook pula dijadualkan berlangsung pada 16 hingga 18 Mei 2025. Semua warga Sook dijemput hadir beramai-ramai bagi memeriahkan acara tersebut.
Turut hadir dalam majlis itu ialah Pegawai Daerah Sook, Caroline Benjamin Jiugan; Setiausaha Politik kepada Menteri Belia dan Sukan, Jreneus Pagut; Pegawai Pembangunan Masyarakat (PPM) Sook, Tony Talasoi; Ketua Daerah Sook, Lanusag Etap; serta pemimpin-pemimpin tempatan dan warga kampung.