Dr. Joachim (belakang, tengah) dan Jannie (dua dari kiri) menyaksikan penyerahan sumbangan bakul makanan Petronas yang disampaikan oleh Siti Haniza kepada salah seorang penerima.
KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri Sabah II, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam memuji langkah progresif Jetama Sdn Bhd yang mencipta sejarah sebagai syarikat berkaitan kerajaan (GLC) pertama menaja sepenuhnya sambutan Kaamatan di peringkat cawangan KDCA dan daerah.
Beliau berkata, inisiatif itu menjadi contoh terbaik bagaimana sektor korporat boleh memainkan peranan penting dalam memperkasa budaya dan membina masyarakat bersatu padu.
“Saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada KDCA Kapayan dan Jetama atas kejayaan menganjurkan sambutan Kaamatan yang begitu bermakna tahun ini,” katanya semasa merasmikan Majlis Penutupan Kaamatan KDCA Kapayan Jetama 2025 di Dewan Kampung Kibouvang, Kepayan hari ini.

Dr. Joachim menyempurnakan gimik perasmian Pesta Kaamatan KDCA Kapayan Jetama dengan memalu gong sambil disaksikan oleh Jannie serta tetamu yang hadir.
Dr. Joachim yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan berkata, sokongan luar biasa seperti itu membuktikan bahawa GLC juga boleh menjadi pemangkin pembentukan masyarakat yang inklusif dan harmoni.
Beliau turut memuji tema Kaamatan tahun ini, “Kaamatan Untuk Semua”, yang disifatkannya bertepatan dengan realiti masyarakat berbilang kaum, agama dan budaya di Sabah.
“Pesta menuai ini bukan hanya perayaan komuniti Kadazandusun semata-mata, tetapi satu warisan budaya yang menyatukan rakyat melalui semangat kesyukuran, gotong-royong dan kebersamaan,” kata Timbalan Presiden Persatuan Kebudayaan Kadazan Dusun (KDCA) itu.
Menurutnya, majlis seumpama itu memberi peluang kepada generasi muda mengenal dan menghargai budaya sendiri, termasuk melalui tarian Sumazau, irama gong, pakaian tradisional dan makanan warisan.

Dr. Joachim (tengah) melakukan upacara pemotongan padi, ‘mongomot’ bersama Jannie (tiga dari kiri) dan yang lain.
Dalam masa yang sama, beliau berkata, ia turut membuka ruang ekonomi kepada usahawan tempatan serta penggiat seni dan budaya.
Sehubungan itu, beliau menyeru lebih banyak syarikat tampil mencontohi langkah Jetama dengan bukan sahaja melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR), tetapi juga memimpin pemerkasaan budaya secara progresif dan berwawasan.
“Saya rakamkan ucapan syabas dan terima kasih kepada Jetama dan seluruh jawatankuasa penganjur atas komitmen dan kerja keras mereka,” katanya.
Turut hadir dalam majlis itu ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kapayan, Jannie Lasimbang yang juga Pengerusi Koperasi Pembangunan Desa, Pengerusi Penganjur, Gundohing Ts. Jude Abel Logijin; Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Jetama Sdn Bhd, Datuk Yusuf Abd Manan dan Datuk Ahmad Naim Uddang; Pengurus Besar Petronas Sabah dan Labuan, Siti Ayu Haniza Abdul Wahab, Ketua Daerah Penampang, OKK Charles Masuli dan Ketua Anak Negeri, Alice Dison.
Majlis turut dimeriahkan dengan pelbagai persembahan kebudayaan, makanan tradisional dan penyertaan komuniti setempat yang melambangkan semangat Kaamatan sebagai pesta rakyat seluruh Sabah.
































