Haji Hajiji Haji Noor
KOTA BELUD: Lembaga Padi dan Beras Sabah (LPBS) dilancarkan secara rasmi dengan matlamat utama untuk mencapai sasaran Kerajaan Negeri dalam meningkatkan tahap sara diri (SSL) beras Sabah kepada 30 peratus menjelang tahun depan dan 60 peratus menjelang tahun 2030.
Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor berkata, pelbagai inisiatif akan dilaksanakan melalui pengaktifan semula LPBS bagi memastikan keselamatan makanan Sabah, memenuhi permintaan makanan rakyat dan mengurangkan kebergantungan kepada beras import.
“Ketika ini, Sabah hanya mampu menghasilkan kira-kira 22.8 peratus beras tempatan, menyebabkan kebergantungan yang tinggi kepada bekalan beras import bagi menampung permintaan,” katanya.
Beliau menambah, LPBS akan mengambil alih semua pembangunan dan pengurusan tanaman padi daripada Jabatan Pertanian Negeri bermula tahun ini.
“Selain itu, LPBS turut diberi tanggungjawab sebagai badan pengawal selia bagi pembangunan dan pengurusan tanaman padi. Oleh itu, saya mahu semua agensi negeri yang berkaitan memberi kerjasama penuh kepada LPBS,” katanya semasa melancarkan LPBS dan Skim Takaful Tanaman Padi (STTP) Agrobank di Dewan Datuk Musbah Jamli, di sini hari ini. Ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan.

Dr. Jeffrey (tiga dari kanan) mewakili Ketua Menteri melancarkan LPBS.
Bagi meningkatkan SSL, Ketua Menteri berkata Kerajaan Negeri akan menumpukan kepada pembangunan dan pengurusan tanaman padi di enam daerah iaitu Kota Marudu, Tuaran, Tambunan, Keningau, Papar dan Kota Belud.
Jumlah keluasan sawah padi di daerah-daerah ini ialah 22,218.35 hektar atau 55,879 ekar, melibatkan 16,018 pesawah.
Selain mengaktifkan semula LPBS, Hajiji berkata Kerajaan Negeri turut melaksanakan beberapa inisiatif lain termasuk memberi penekanan kepada penanaman padi bukit.
“Justeru, saya menyeru semua pemilik tanah bukit agar membangunkan tanah mereka dengan tanaman padi bukit berkualiti tinggi. Dianggarkan sebanyak 13,266 hektar atau 32,767 ekar tanah bukit sesuai untuk penanaman padi, melibatkan 15,617 pesawah,” katanya.
Ketua Menteri berkata, jika kawasan ini dibangunkan sepenuhnya, ia berpotensi menghasilkan 30,424 tan metrik beras bukit setahun.
Seperti Sarawak yang terkenal dengan beras Bario, Sabah juga mempunyai varieti padi bukit tersendiri iaitu beras Adan dari Long Pasia, Sipitang serta dari Ranau, Kudat dan Pitas yang semakin mendapat tempat di pasaran tempatan, katanya.
Hajiji turut menggesa syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk membangunkan tanah terbiar mereka bagi penanaman padi.
“Saya memberi jaminan bahawa Kerajaan Negeri tetap komited untuk membangunkan kawasan sawah terbiar serta meningkatkan hasil padi dan pengeluaran beras tempatan,” katanya.
Hajiji menyeru pesawah agar memanfaatkan Skim Takaful Tanaman Padi yang melindungi penanam padi di seluruh negara.
Di bawah skim ini, pesawah warganegara Malaysia berumur 18 tahun ke atas, yang mengusahakan padi di kawasan yang ditetapkan, berdaftar di bawah Skim Baja Kerajaan Persekutuan, dan mempunyai akaun Agrobank, akan dilindungi daripada kerosakan tanaman akibat bencana alam, serangan perosak dan penyakit.


































