Nizam Abu Bakar Titingan
KOTA KINABALU: Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) menyokong penuh terhadap ketegasan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam memperkasakan parti-parti tempatan sebagai teras pentadbiran negeri.
Ketua Penerangannya, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan menyambut baik kenyataan Ketua Menteri yang juga Pengerusi GRS, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor yang menegaskan keutamaan diberikan kepada parti tempatan dalam menentukan hala tuju politik negeri.
“Sebagai parti tempatan, hanya kita yang benar-benar memahami realiti, budaya dan keperluan rakyat Sabah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Nizam yang juga Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri berkata, GRS bukan sahaja membawa suara tempatan, malah telah membuktikan keupayaannya memimpin Sabah ke arah kestabilan dan kemajuan menerusi dasar Hala Tuju Sabah Maju Jaya.
Beliau menegaskan bahawa ketegasan GRS untuk tidak mengabaikan aspirasi akar umbi adalah penting, khususnya dalam suasana perbincangan politik peringkat nasional yang kadangkala gagal memahami konteks politik negeri ini.
“Kami menghormati peranan parti-parti nasional dalam Kerajaan Perpaduan, namun kerjasama politik mestilah berlandaskan prinsip saling menghormati,” katanya.
Menurut beliau, mana-mana percubaan membentuk kerjasama baharu tanpa melibatkan GRS atau tidak melalui saluran muafakat sedia ada merupakan tindakan pra-matang dan tidak mencerminkan keikhlasan terhadap rakyat Sabah.
Tambahnya, Gagasan Rakyat kekal komited memperkukuh GRS sebagai platform utama dalam memperjuangkan kestabilan politik, kedaulatan suara tempatan dan kemajuan negeri secara berterusan.
Nizam turut menyeru semua pihak agar menghormati peranan dan kekuatan parti-parti tempatan dalam landskap politik Sabah yang unik dan berbeza daripada negeri lain.