Bill Gates
LONDON: Pengasas bersama Microsoft dan dermawan terkenal, Bill Gates mengumumkan hasrat beliau menyerahkan hampir keseluruhan kekayaan peribadinya dalam tempoh dua dekad akan datang dengan sasaran sebanyak AS$200 bilion (RM861 bilion) akan disalurkan kepada golongan termiskin dunia melalui Yayasan Gates.
Menurut Utusan Malaysia, jutawan berusia 69 tahun itu berkata, beliau mempercepatkan rancangannya untuk menyerahkan kekayaan tersebut dan akan menamatkan operasi Yayasan Gates pada 31 Disember 2045.
“Orang mungkin akan berkata pelbagai perkara mengenai saya apabila meninggal dunia tetapi saya bertekad supaya ‘mati dalam keadaan kaya’ bukan satu daripadanya.
“Terlalu banyak masalah mendesak yang perlu diselesaikan untuk saya terus memegang sumber yang sepatutnya digunakan untuk membantu orang lain,” tulis Gates dalam satu hantaran di laman web rasminya.
Dalam kenyataan yang dilihat sebagai kritikan tersirat terhadap pemotongan bantuan antarabangsa oleh bekas Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump, Gates berkata, beliau mahu menamatkan kematian bayi, kanak-kanak dan ibu akibat punca yang boleh dicegah, serta menghapuskan penyakit seperti polio, malaria dan campak sambil membasmi kemiskinan.
“Masih belum jelas sama ada negara terkaya dunia akan terus membela nasib golongan paling miskin,” katanya sambil merujuk pemotongan bantuan oleh penderma utama termasuk AS, United Kingdom dan Perancis.
Gates turut menegaskan walaupun yayasannya memiliki dana besar, kejayaan tidak akan dicapai tanpa sokongan kerajaan.
Beliau memuji tindakan beberapa negara Afrika yang menyesuaikan semula bajet selepas kehilangan bantuan, namun menegaskan bahawa penyakit seperti polio tidak dapat dibasmi tanpa dana daripada AS.
Pengumuman itu dibuat sempena ulang tahun ke-25 Yayasan Gates yang ditubuhkan beliau bersama bekas isterinya, Melinda French Gates pada 2000 dan kemudian disertai pelabur terkenal Warren Buffett.
“Saya sudah melalui perjalanan jauh sejak zaman kanak-kanak, ketika saya memulakan syarikat perisian bersama rakan sekolah,” katanya.
Sejak ditubuhkan, yayasan tersebut telah menyalurkan AS$100 bilion (RM430 bilion), menyelamatkan berjuta-juta nyawa dan menyokong inisiatif kesihatan global seperti Gavi dan Tabung Global Memerangi AIDS, Tuberkulosis dan Malaria.
Menurut Gates, yayasan itu akan ditutup setelah membelanjakan kira-kira 99 peratus daripada kekayaan peribadinya. Pada asalnya, penutupan yayasan dijangka berlaku selepas kematian pengasasnya.
Gates yang kini dianggarkan memiliki kekayaan bernilai sekitar AS$108 bilion (RM464 bilion) menjangkakan Yayasan Gates akan membelanjakan sekitar AS$200 bilion (RM861 biliion) menjelang 2045 bergantung kepada keadaan pasaran dan kadar inflasi.