Hajiji (duduk, tengah) dan tetamu khas bergambar bersama Ahli-ahli Majlis Daerah Tuaran sesi 2025-2027 selepas Majlis Angkat Sumpah dan Penyampaian Watikah Pelantikan AMD Tuaran Tahun 2025–2027 di Shangri-La Rasa Ria Resort, Tuaran, hari ini.
TUARAN: Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor menegaskan kepentingan peranan aktif dan berintegriti ahli majlis daerah dalam menyokong pelaksanaan dasar pembangunan negeri.
Beliau menekankan bahawa ahli majlis daerah bukan sekadar penyambung suara rakyat, tetapi juga perlu menjadi agen pelaksanaan yang berkesan kepada inisiatif Kerajaan, khususnya Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).
“Ahli majlis daerah perlu lebih proaktif dalam menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat. Lengkap dengan ilmu serta kefahaman mengenai fungsi, peranan dan tanggungjawab mereka.
“Ini penting untuk memudahkan pelaksanaan dasar Kerajaan dan menyampaikan bantuan serta program pembangunan kepada rakyat dengan cekap dan telus,” katanya pada Majlis Angkat Sumpah dan Penyampaian Watikah Pelantikan Ahli-Ahli Majlis Daerah Tuaran sesi 2025–2027 di Shangri-La Rasa Ria Resort di sini, hari ini.
Ketua Menteri berkata, keberhasilan pelaksanaan Pelan Pembangunan SMJ bergantung kepada komitmen semua pihak termasuk Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan ahli majlis daerah. Ahli majlis daerah perlu berganding bahu bersama Kerajaan Negeri dalam menyebarluaskan maklumat dasar, inisiatif serta bantuan Kerajaan hingga ke peringkat akar umbi.
Hajiji turut menyenaraikan beberapa inisiatif pembangunan yang sedang dan akan dilaksanakan di daerah Tuaran, termasuk naik taraf infrastruktur asas seperti jalan raya, bekalan air dan elektrik, pembangunan pelancongan serta pengukuhan keusahawanan tempatan.
“Sebesar mana pun peruntukan pembangunan, ia tidak akan memberi makna tanpa penyampaian yang cekap. Ahli majlis daerah perlu turun padang, melihat sendiri isu-isu rakyat dan bertindak dengan penuh integriti, ikhlas dan telus,” katanya.
Beliau yang juga ADUN Sulaman, turut menyeru semua ahli majlis daerah supaya memainkan peranan sebagai jambatan antara rakyat dan Kerajaan, membawa suara rakyat ke peringkat pentadbiran dan memastikan setiap dasar dan program Kerajaan difahami dan diterima oleh masyarakat.
Menurutnya, pelantikan Ahli Majlis Daerah Tuaran kali ini terdiri daripada pelbagai latar belakang termasuk bekas penjawat awam, ahli perniagaan, tokoh belia serta wakil badan bukan kerajaan (NGO), mewakili suara empat kawasan Dewan Undangan Negeri iaitu Sulaman, Pantai Dalit, Tamparuli dan Kiulu.
Katanya, kepelbagaian ini diyakini sebagai kekuatan dalam merangka dasar dan menangani keperluan rakyat secara menyeluruh.
“Saya yakin dengan iltizam yang tinggi dan semangat kerja berpasukan, ahli majlis daerah mampu menggalas amanah ini demi kemajuan dan kesejahteraan rakyat Tuaran,” katanya.
Turut hadir di majlis itu ialah Menteri Pembangunan Luar Bandar Negeri yang juga ADUN Tamparuli, Datuk Jahid Jahim, Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri, Datuk Isnin Aliasnih, Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar yang juga ADUN Kiulu, Datuk Joniston Bangkuai, Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau dan ADUN Pantai Dalit, Datuk Jasnih Daya.


































