Haji Hajiji Haji Noor
TAMPARULI: Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Tamparuli, Muammar Ghadafi menegaskan bahawa dakwaan kononnya Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor sebagai pemimpin lemah adalah satu naratif palsu yang diselubungi dakyah politik songsang serta fitnah murahan.
“Ini bukan sekadar fitnah biasa, sebaliknya merupakan propaganda terancang bagi mengelirukan rakyat yang ikhlas mencari kepimpinan sejati,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau menggesa rakyat Sabah agar tidak mudah terpengaruh dengan permainan persepsi yang cuba mencalar imej kepimpinan Hajiji.
“Jika benar Hajiji lemah, sudah pasti beliau tumbang semasa episod politik Langkah Kinabalu. Namun realitinya, beliau kekal berdiri teguh sebagai nakhoda agung yang terus memimpin Sabah menghadapi badai pengkhianatan,” katanya.

Muammar Ghadafi
Muammar turut menyindir tindakan Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin yang menarik sokongan terhadap Hajiji namun akhirnya terperosok dalam kepompong politik yang rapuh.
“Lihat sahaja Shahelmey Yahya, Jasnih Daya, Arshad Bistari dan pemimpin UMNO Sabah yang lain – mereka memilih untuk terus bersama Hajiji. Mereka tahu di mana letaknya kekuatan sebenar,” ujarnya.
Dalam kenyataan sama, beliau turut membidas Parti Warisan yang masih mempertikai kekuatan Hajiji tetapi gagal menawan semula tampuk pemerintahan negeri.
“Jika benar Hajiji lemah, bukankah Shafie Apdal sudah kembali ke Pejabat Ketua Menteri? Hakikatnya tidak. Yang kekal di puncak ialah Hajiji. Yang terus bekerja untuk rakyat juga Hajiji,” tegas Muammar.
Menurutnya, keupayaan Hajiji menyatukan pelbagai kelompok politik dan mengekalkan kestabilan kerajaan negeri adalah bukti kecekapan serta ketahanan beliau sebagai pemimpin yang telah melalui pelbagai ujian getir.
“Hajiji bukan sekadar pemimpin biasa. Beliau adalah arkitek kestabilan Sabah dan simbol kematangan politik baharu yang menolak budaya lompat parti serta retorik kosong,” katanya.
Muammar turut menasihatkan rakyat supaya menilai kepimpinan berdasarkan fakta, bukan fantasi yang direka oleh mereka yang rakus kuasa.
“Hajiji bukan pemimpin lemah. Beliau adalah kekuatan yang mengangkat Sabah dari lumpur perpecahan ke mercu kestabilan – seorang pemimpin luar biasa untuk zaman yang luar biasa,” katanya.






























